Khazanah Nasional
Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR – Kerajaan ditanya mengapa menjual aset-aset strategik milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) ketika harga saham berada pada kedudukan rendah.

Datuk Seri Najib Razak berkata, kalaupun aset-aset itu hendak dilupuskan, jual ketika pasaran saham dalam keadaan baik.

Tindakan melupuskan aset-aset itu sekarang hanya menyebabkan Khazanah Nasional mengalami kerugian.

Selepas menjual IHH Berhad, sayap pelaburan kerajaan itu akan melepaskan pegangannya dalam CIMB Bank, syarikat telekomunikasi Axiata, UEM Edgenta dan UEM Sunrise.

Khazanah Nasional mempunyai pegangan besar dalam entiti-entiti tersebut.

“Pada masa BN, Khazanah mengklasifikan syarikat-syarikat ini sebagai syarikat “core holding” ataupun syarikat strategik untuk negara.

“Tetapi kini mereka telah ditukar menjadi aset komersial yang disediakan untuk dijual,” katanya.

Pada bulan Disember lalu, Khazanah sudah mula menjual CIMB Bank dengan penjualan 63 juta saham kepada pembeli-pembeli yang tidak dinamakan pada harga RM364 juta atau harga RM5.78 satu saham.

Sedangkan sebelum PRU14, harga saham CIMB adalah pada harga RM7.30.

“Jika 63 juta saham itu dijual pada masa baik di mana harganya RM7.30, kita boleh dapat RM460 juta.

“Tetapi PH jual pula pada bulan Disember lalu di mana harga saham rendah (RM5.78) dan hanya dapat RM364 juta – iaitu kekurangan RM86 juta.

“Jika mahu jual pun, jual pada masa harga saham tinggi di dalam pasaran Bursa yang baik.

“Mengapa terdesak nak jual pada masa Bursa Malaysia tidak baik dan harga pasaran rendah sehingga Khazanah perlu rugi?,” ujarnya. – MalaysiaGazette