Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan calon Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali (kiri) pada Santai 2 Roda Semenyih 2019 sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Tesco Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan majoriti dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat bagi membolehkan undang-undang dipinda.

Perdana Menteri itu berkata, langkah itu perlu bagi memastikan beberapa undang-undang boleh dipinda dengan mudah.

“Perlembagaan mesti ada dua pertiga ahli dalam Dewan Rakyat.
Sekarang ini, parti pemerintah sahaja tak cukup. Tak lama lagi cukuplah. Orang UMNO ini dia tidak ada jalan dah. Dia ingat, kalau tak masuk PH, tak masuk parti Bersatu, tak ada apa yang boleh buat?

“Dia (wakil-wakil rakyat BN) pun nak berhenti dah daripada UMNO. Bila ahli-ahli UMNO ini sudah sesuai dengan perjuangan PH, kita akan terima mereka dan jumlah kita pun bertambah dekat dengan dua pertiga,” katanya dalam ucapan perasmian Santai 2 Roda Semenyih di perkarangan Tesco Semenyih petang tadi.

Sebelum ini, PH menerusi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah berkata, kerajaan bercadang untuk membuat pindaan undang-undang dengan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Cadangan mengubah usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun itu antara janji dalam manifesto PH dalam pilihan raya umum Mei lalu.

Juga mahu dipinda adalah mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri kepada dua penggal.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, sebarang pindaan yang akan dibuat tidak akan menyentuh mengenai institusi beraja di negara ini.

“Kita bukan nak pinda nak buang raja nak sekat raja, tidak. Yang itu kekal macam tu lah. Kita tak boleh pinda yang itu,” katanya lagi.

Hadir samada Naib Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali serta Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali. -MalaysiaGazette