SEMENYIH – Langkah memberikan undi kepada pembangkang dalam sesuatu pilihan raya tidak boleh dianggap sebagai sia-sia.
Sebaliknya, ia merupakan ruang kepada pengundi untuk menyuarakan hak masing-masing kepada kerajaan menerusi saluran demokrasi, kata calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi.
Menurut beliau, memang diakui sebagai pembangkang tiada sebarang perkara yang boleh dijanjikan melainkan membawa suara rakyat supaya dapat didengari kerajaan.
“Saya rasa dalam tempoh kempen ini sesiapa boleh keluarkan kenyataan, tapi yang membuat penilaian nanti adalah pengundi sendiri.
“Mengundi pembangkang bukan sia-sia, ini demokrasi dan inilah waktunya kuasa rakyat untuk menentukan.
“Bagi pemimpin tentulah mereka rasa apa dibuat itu betul, tapi bagi rakyat ia berbeza kerana ruang telah terhidang untuk mereka terjemahkan penilaian mereka menerusi peti peti undi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berceramah malam tadi di Taman Pelangi Semenyih berkata, memberikan undi kepada pembangkang adalah suatu perkara yang sia-sia.
Malah, bukan sahaja kepada calon BN, sebaliknya, pembangkang yang dimaksudkan turut melibatkan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan juga seorang calon bebas.
Menurut Dr Mahathir, calon pembangkang tidak mampu melaksanakan agenda pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat kerana tidak mempunyai kuasa di peringkat Persekutuan dan negeri.
Sementara itu, Zakaria menejalskan, sebagai pembangkang di Selangor BN sudah pastinya akan mengutamakan tanggungjawab untuk membawa suara rakyat.
“Saya sendiri tidak berjanji tetapi yang banyak berjanji adalah mereka, saya hanya mahu memanjangkan permasalahan pengundi di Semenyih. Sebagai parti pemerintah, mereka yang perlu menunaikan janji mereka.
“Tiada yang luar biasa, saya memang meletakkan kedudukan untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan menguatkan suara pembangkang dalam DUN Selangor ketika ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette