Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu semua pimpinan, ahli-ahli dan penyokong parti itu bermunajat kepada Allah.

“Melihat kepada serangan yang ditujukan kepada Pas dari segenap penjuru dan silih berganti, dengan ini saya menyeru kepada pimpinan, ahli dan penyokong Pas untuk bermunajat dan mengadu kepada Allah Yang Maha Kuasa dengan menunaikan solat hajat, berpuasa, membaca al-Quran dan melakukan amal kebajikan kepada semua pihak serta bertawassul memohon kepada Allah supaya memberi balasan sewajarnya di dunia dan akhirat,” ujarnya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Abdul Hadi, doa orang-orang dizalimi tidak ada hijab dan akan dimakbulkan oleh Allah.

“Kita memohon pertolongan kepada Allah Yang Maha Kuasa Lagi Maha Tinggi mengatasi segala kerajaan di dunia ini,” katanya lagi.

Pas sejak beberapa hari lalu diserang oleh dakwaan termasuk dikatakan membayar Editor Sarawak Report sebanyak RM1.4 juta sebagai pampasan selepas menarik balik saman malu kepada pemiliknya, Clare Rewcastle Brown oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum itu, Pas juga dikaitkan menerima wang daripada UMNO dan 1MDB.- MalaysiaGazette