Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah bersalaman dengan lapan orang warga Malaysia yang terkandas di Liberia selepas tipu satu sindiket pekerjaan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 MAC 2019

SEPANG – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menasihatkan penduduk negara ini yang mendapat tawaran bekerja di luar negara supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan.

Menurut beliau, sebarang tawaran pekerjaan di luar negara yang lumayan perlu diselidiki terlebih dahulu bagi mengelakkan diri mereka ditipu.

“Saya hendak menasihatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati apabila ditawarkan pekerjaan di luar negara sebagaimana yang maklum.

“Ini bukan kali pertama. Baru-baru ini, kita dapat membebaskan 47 rakyat Malaysia atas isu yang sama di Kemboja.

“Sebenarnya, kita bimbang kalau ada lagi rakyat Malaysia yang mengalami nasib yang sama sebab itu kita sangat mahu ingatkan supaya mereka berhati-hati,” katanya selepas menyambut ketibaan lapan rakyat Malaysia yang terkandas di Liberia akibat ditipu sindiket.

Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii; Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimbol; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lintang, See Chee How.

Mereka yang terdiri daripada enam Iban, dua Melayu itu mulanya ditawarkan pekerjaan sebagai pekerja balak di negara itu dengan gaji yang lumayan.

Bagaimanapun, peluang pekerjaan itu nyata hanya penipuan apabila mereka terkandas sana sejak 4 Februari lalu.

Menurut Saifuddin, Wisma Putra menghantar dua pegawai ke Liberia bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai perkara itu dan hasil maklumat kerajaan Liberia, kelapan-lapan mangsa berjaya dibawa pulang ke Malaysia hari ini.

“Kita telah menghantar dua orang pegawai dan berunding termasuk dengan pemimpin kerajaan di sana (Liberia) dan mereka bersetuju untuk diserahkan kelapan mereka dan dibebaskan. Mereka sudah tiba dan hari ini akan terbang ke Sibu Sarawak.

“Kita bersyukur kerana telah dapat bawa pulang dengan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin turut berterima kasih kepada syarikat Sime Darby yang berada di sana kerana banyak membantu mangsa terlibat.

Untuk rekod, ini merupakan kejadian kedua tahun ini membabitkan rakyat Malaysia yang mencari kerja di luar negara, selepas 47 orang yang menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia dibebaskan pihak berkuasa Kemboja. – MalaysiaGazette