NEW YORK – Harga minyak naik kira-kira 1 peratus selepas Amerika Syarikat dan China semakin dekat untuk menamatkan perang perdagangan yang telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi global.
Kenaikan itu turut didorong oleh Rusia yang sedia meningkatkan pemotongan pengeluaran minyak.
Niaga hadapan minyak mentah Brent mencecah AS$ 65.67 setong, naik AS$0.60 atau 0.9 peratus manakala West Texas Intermediate (WTI) naik AS$0.79 kepada AS$56.59 setong.
Washington dan Beijing hampir mencapai kesepakatan perdagangan yang bakal menyaksikan penangguhan pelaksanaan tarif yang mencecah AS$200 bilion bagi barangan China.
China dikatakan berjanji untuk membuat perubahan dalam struktur ekonomi dan menamatkan pelaksanaan tindak balas tarif.
Menteri Tenaga Rusia, Alexander Novak pula telah menyatakan komitmen untuk segera melaksanakan pengurangan bekalan pada bulan ini.
OPEC dan sekutu-sekutunya dijangka akan memutuskan polisi pengeluaran minyak baharu pada Jun ini.
Bagaimanapun, sebarang keputusan OPEC bergantung kepada lanjutan sekatan Amerika Syarikat ke atas Iran dan Venezuela, menurut sumber. – MalaysiaGazette