Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan (tiga kiri) diiringi Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (dua kiri) bersalaman dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tiga kanan) dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (dua kanan) selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Antara PAS dan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2019

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas mencapai kata sepakat untuk bersetuju menjalinkan kerjasama secara formal antara kedua-dua parti bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi bersama Jawatankuasa Induk UMNO dan Pas, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, dalam perbincangan lebih dua jam di Menara Dato’ Onn di sini hari ini, kedua-dua parti telah membincangkan hala tuju parti ke arah penyatuan ummah.

“Kami selesai mengadakan perbincangan di peringkat Jawatankuasa Induk UMNO dan Pas hari ini hasil daripada kerjasama tidak formal yang dilakukan selama ini.

“Kita bersetuju mengadakan mesyuarat ini dan kami mengesahkan bahawa jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden Pas (Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man) dan saya (Timbalan Presiden UMNO) serta dianggotai pemimpin peringkat tertinggi kedua-dua parti.

“Dalam perbincangan pertama ini, kita bincang panjang lebar mengenai hala tuju parti dan politik, kita setuju menjalin kerjasama ini secara formal dan Jawatankuasa Kerja Teknikal yang dipengerusikan Naib Presiden parti masing-masing akan dibentuk,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi perbincangan UMNO dan Pas di sini hari ini.

Turut hadir bagi pihak Pas ialah Naib Presiden, Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad; dan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Khalil Hadi.

Pemimpin yang mewakili UMNO pula dihadiri, tiga Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri; Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Mohamad Khaled Nordin; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Noraini Ahmad; dan Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Mohamad, penyatuan ummah yang dimeterai oleh UMNO dan Pas itu adalah untuk memberi jaminan kepada kestabilan tanah air selama ini, melibatkan masyarakat berbilang kaum, keturunan dan bangsa.

Katanya, mereka mengambil kira penyatuan ummah itu bersandarkan kepada masyarakat majmuk tanpa meminggirkan mana-mana agama dan kaum lain yang ada di negara ini.

“Apabila bercakap soal penyatuan ummah, ia melibatkan masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Mengenai Jawatankuasa Khas Teknikal yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dan Idris Ahmad, beliau yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO berkata, jawatankuasa itu dibentuk untuk memperincikan hasil kerjasama kedua parti dalam apa sahaja bentuk termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih dan DUN Rantau.

Ujar beliau, pihaknya akan menunggu hasil kerja dari Jawatankuasa Khas Teknikal itu satu setengah bulan dari sekarang untuk mereka mengemukakan hasil gerak kerja kedua-dua parti.

“Kita akan buat rangka kerja dalam menghadapi PRK masa akan datang, terutama di DUN Rantau, iaitu kawasan saya sendiri.

“Perbincangan ini juga bersetuju untuk memantapkan kerjasama kedua parti di peringkat Parlimen di kawasan pembangkang iaitu UMNO dan Pas sebagai semak dan imbang.

“Kita akan jadi pembangkang yang akan bahas isu dan memberi sokongan yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Kita tidak akan setuju kalau ia mendatangkan mudarat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Mohamad berkata, hasil perbincangan itu akan dibawa bersama antara UMNO dan Pas ke peringkat rakan parti masing-masing iaitu bagi Barisan Nasional (BN), rakannya ialah MCA, MIC, manakala Pas pula Gagasan Sejahtera (GS) iaitu Parti Ikatan dan Berjasa.

Katanya, bagi BN, beliau akan membawa hasil perbincangan itu pada mesyuarat BN Jumaat ini.

“Yang penting, kita tidak akan pinggirkan rakan parti masing-masing. Kita mahu isu penyatuan ummah ini dapat diterjemahkan sebaik mungkin.

“Kita akan terus menjadi pembela kepada kemajmukan rakyat dan negara, tanpa meminggirkan mana-mana bangsa dan kaum,” katanya.

Ditanya, adakah kerjasama UMNO dan Pas ini akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Mohamad menjelaskan, ia dimeteraikan di peringkat PRK dahulu dan jika berjaya, akan diteruskan sehingga PRU-15. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Unity between Leaders of Corrupt & Partner of Flip Flop.

    Marriage on Convenience, and divorce on tragedy.

Comments are closed.