KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama akan membentangkan cadangan kepada Kabinet pada bulan ini untuk mengehadkan kawasan maksimum ladang kelapa sawit kepada kira-kira 6.5 juta hektar, meningkat daripada 5.85 juta hektar pada akhir 2018.
Menteri Teresa Kok berkata, ini dijangka dicapai pada 2023 berdasarkan purata perluasan ladang setiap tahun dari 2013 hingga 2018.
“Langkah ini dibuat bagi menangkis dakwaan bahawa perladangan kelapa sawit adalah punca penebangan hutan.
“Tetapi, bagi membolehkan ini dicapai, kami perlu bekerjasama dengan pelbagai kerajaan negeri,” katanya semasa merasmikan Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Minya Laurik, Persidangan dan Pameran Prospek Harga 2019 (POC 2019), di sini, hari ini.
Kok berkata, pengusaha kelapa sawit juga perlu meningkatkan penyelidikan dan pembangunan anak benih, serta meningkatkan produktiviti dan hasil tuaian kelapa sawit sedia ada.
Kok berkata, kementerian juga akan mencadangkan kepada Kabinet untuk memastikan maklumat tentang kawasan yang diletakkan di bawah perladangan kelapa sawit diumumkan kepada awam.
“Kami perlu telus. Kami berharap Kabinet akan meluluskan cadangan ini,” katanya.
Sementara itu, Kok berkata, usaha kerajaan pada tahun ini untuk memperluaskan program bio-diesel B10 dan B7 kepada sektor pengangkutan dan perindustrian dijangka bakal meningkatkan penggunaan minyak sawit sebanyak 761,000 tan setahun.
“Ini akan membantu mengurangkan simpanan stok yang begitu banyak dan menaikkan harga komoditi ini,” katanya. – MalaysiaGazette