Mohamad Fuzi
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Perkhidmatan Cemerlang PDRM 2018 di Bukit Aman, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mempunyai tempoh sehingga penghujung Mac ini bagi melengkapkan kertas siasatan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Selain itu polis turut mempunyai masa sehingga 16 Mei 2019 bagi menyimpan barangan yang dirampas dalam beberapa serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Mei tahun lalu,kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini.

Katanya setakat ini siasatan ke arah melengkapkan kertas kes itu masih berjalan lancar.

“Kita telah mengemukakan tahap mana siasatan dengan Jabatan Peguam Negara tetapi siasatan masih perlu dilengkapkan (hujung Mac).

“Siasatan sama ada di peringkat Akta Pengubahan Wang Haram juga masih berjalan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 melibatkan 63 pegawai kanan dan anggota mewakili 9,988 pegawai,anggota dan kakitangan yang berkhidmat dalam PDRM di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman di sini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai barang rampasan dalam serbuan 1MDB, Mohamad Fuzi berkata, ia juga melalui proses perundangan dan telahpun dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kita akan ambil tempoh yang perlu kita patuhi dalam melengkapkan siasatan barang rampas iaitu sebelum 16 Mei tarikh akhir berkaitan barang rampas.

“Selepas 16 Mei nanti ada proses tertentu dan tindakan melalui proses mahkamah akan kita cadangkan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Fuzi menegaskan polis masih meneruskan pencarian ahli perniagaan, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low dan ibubapanya yang dikehendaki dalam kes 1MDB.

Katanya, perbincangan masih diteruskan dengan kerajaan China.

“Ramai yang kata (Jho Low) di China tapi kita tak pasti namun sedang berusaha untuk menjejaki lokasi dia,” tambahnya. – MalaysiaGazette