Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua rakan yang sengaja melanggar seorang anggota polis yang sedang bertugas sehingga mangsa cedera, hari ini dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman penjara itu ke atas juruteknik telekomunikasi Kamarudin Abdullah ,32, dan pembantu teknik, Mohamed Irfan Farid Wahid ,37, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 27 Feb lepas.

Mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja memandu hendak melanggar sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis berpangkat lans koperal menggunakan sebuah kereta di hadapan sebuah rumah di Jalan Gombak, Setapak pada 5.33 petang, 27 Feb lepas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamaluddin memohon hukuman berat dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan juga telah mengganggu ketenteraman awam.

“Dalam kes ini ia telah melibatkan pihak polis yang sedang menjalankan tugas. Pihak pendakwaan memohon ambil kira kepentingan awam daripada kepentingan tertuduh,”katanya.

Bagaimanapun, Kamarudin merayu hukuman ringan atas alasan dia telah insaf.

“Saya minta maaf dan menyesal atas perbuatan yang dilakukan,”katanya dalam nada sebak.

Mohamed Irfan Farid pula yang menangis di dalam kandang tertuduh, berkata dia menyesal dan telah insaf atas perbuatannya selain akan berkahwin dalam masa terdekat.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian semasa pihak polis daripada Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju sedang menjalankan ‘Ops Rentap’ di Jalan Gombak, Setapak, di sini, kedua-dua tertuduh didapati berada dalam keadaan mencurigakan di dalam kereta Proton Persona.

Kedua-dua tertuduh kemudiannya melarikan diri dengan kereta berkenaan dan memandu secara melulu selepas pihak polis cuba menahan mereka sehingga membahayakan orang awam di jalan raya berhampiran menyebabkan polis terpaksa mengejar sehingga kereta tertuduh dipandu memasuki jalan mati.

Apabila menyedari kereta yang dipandu melalui jalan mati, kedua-dua tertuduh dengan sengaja cuba melanggar seorang anggota polis sehingga mengakibatkan kecederaan luka di bahagian kiri dan kanan tangan mangsa.

— BERNAMA