Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mazlan Aliman (bawah tengah) diringi Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat, Abdul Razak Kasbollah melawat ladang cili di Pertubuhan Peladang Kawasan Projek Satelite Farm,Teluk Panglima Garang, Hulu Langat. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 9 MAC 2019

BANTING – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mensasarkan sekurang-kurangnya 10 skuad pertanian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dapat dilahirkan di seluruh negara dalam tempoh setahun.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, ia bertujuan untuk mengenal pasti peladang yang berpotensi diketengahkan sebelum produk asas tani mereka dipasarkan ke luar negara.

“Tun Daim Zainuddin mahu ke mari kerana kejayaan yang dicapai oleh PPK Kuala Langat bagaimana beliau ingin berkongsi kejayaan PPK Kuala Langat untuk kita kembangkan di tempat-tempat lain.

“Beliau mahu 10 PPK setahun sebagai tempoh percubaan, walaupun kita ada 279 PPK, tapi kita nak tengok dulu sekurang-kurangnya 10 PPK,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan enam lori di PPK Kuala Langat, di sini, hari ini.

Idea melahirkan 10 PPK di seluruh negara itu diambil daripada kejayaan PPK Kuala Langat yang mengeksport 11 jenis hasil taninya ke Jeddah, Arab Saudi sejak Januari tahun ini.

PPK Kuala Langat telah mengeksport 500 kilogram hasil tani bernilai hampir RM100,000 sejak Januari lalu bagi memenuhi permintaan rakyat Malaysia dan Filipina yang berada di Jeddah, Arab Saudi.

Pada masa ini rakyat Malaysia seramai 10,000 orang manakala Filipina pula mencecah 3 juta orang di negara timur tengah itu.

Permintaan hasil tani semakin meningkat dan bulan ini PPK Kuala Langat dijangka mengeksport 18 tan hasil tani ke negara terbabit menggunakan perkhidmatan kargo kapal laut.

Mazlan juga berkata, ketika ini pihaknya sedang menyaring 10 PPK dan proses itu akan selesai dalam tempoh dua minggu ini sebelum berhubung dengan pengarah LPP negeri untuk disenarai pendek.

“Pengurus Besar PPK Kuala Langat, Mohd Shakran Shamsudin akan diletakkan sebagai mentor bagi modul untuk melahirkan 10 PPK ini,” katanya.

Mazlan berkata lagi, pihaknya tidak boleh bergantung kepada permintaan tempatan sahaja malah perlu meneroka pasaran luar untuk memasarkan hasil tani Malaysia.

Bagi tujuan melahirkan 10 PPK itu, pihaknya akan mensasarkan peladang yang berdaya modal dan sudah berjaya bagi mengelakkan masalah modal pusingan.

“PPK Kuala Langat sendiri dimulakan dengan Peladang yang sudah mempunyai pusingan modal RM18 juta.

“Dengan kemampuan modal itu, kita berupaya mengeksport hasil tani ke luar negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast