KUALA LUMPUR – Bergantung harap hanya menerusi pendapatan berniaga kecil-kecilan di Medan Selera Semarak, namun kini nasib 27 peniaga di situ semakin gelap dan seperti kehilangan arah.
Bukan sahaja dihalau keluar dari tapak semenjak notis dikeluarkan pada 27 Febuari lalu, kini kata Md Rozaini Md Jibudin, 42, lesen hak perniagaan dan sewaan kedai telah dibatalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ini kerana DBKL perlu memastikan tapak tersebut dikosongkan kerana telah dibeli oleh pemaju.
“Lesen peniaga sudah dimatikan sejak semalam, dan disekat untuk sewa bagi saya tidak adil, sudah berapa puluh tahun kami menyewa di sini tidak pernah ada tunggakan pun. Tiba-tiba disekat semalam.
“Kami tahu sebab dapat surat pembatalan hak lesen dari DBKL. Kenapa sekat sekarang kan,” katanya yang membesar dengan titik peluh orang tuanya berniaga di situ kemudian mengambung legasi sehingga kini sejak lebih 40 tahun yang lalu.
Marah dan kecewa Md Rozaini tidak dapat disembunyikan apatah lagi, katanya, apabila Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad yang pernah memberi jaminan tapak itu tidak akan ‘dikacau’ namun malangnya wajahnya tidak pernah kelihatan memberikan sokongan kepada peniaga Melayu di situ.
“Kami di sini sebulat suara mahu mempertahankan hak kami, yang saya sedih semua peniaga bangsa Melayu. Itu yang saya terkilan.
“Dia ada berseloroh “tak apa boss, saya pantau tempat tu”. Tapi sampai sekarang batang hidung tak nampak, Whatsapp tak balas, Email tak balas, sepatutnya ini tempat dia dia kena ambil beratlah,” tegasnya.
Menggunakan wang berniaga di situ untuk membesarkan, memberikan pendidikan kepada tiga orang anaknya, Zalina Rameli, 45 tahun menangis mengenangkan nasibnya yang masih perlu mencari nafkah tatkala anaknya masih belum ada yang bekerja.
Beliau kelihatan buntu untuk kelangsungan anaknya jika tidak lagi dapat berniaga di situ.
“Anak baru habis belajar yang paling besar 23, yang paling kecil Tingkatan satu. 100 peratus mereka masih mengharapkan saya dan suami kalau ada yang sudah berkahwin ringanlah sedikit. Tapi buat masa ini masih menanggung anak sekolah,” ujarnya.
Meskipun tidak meraih keuntungan yang besar setiap hari berniaga makan dan minum namun kata Zalina pendapatan harian cukup untuk keperluannya sekeluarga.
“Untung tu tidak sangatlah tapi cukuplah untuk hari-hari. Itulah kalau pergi tem;pat lain kena mula dari bawah, nak cari pelanggan makan masa, di sini ada yang sudah kenal bertahun-tahun kan,” tambahnya kepada MalaysiaGazette.
DBKL bukan saja tidak memberikan jalan penyelesaian kepada mereka sebaliknya menghalau peniaga untuk meninggalkan tapak 4 Mac yang lalu, malah menurut Zakiah Ramdan, 50, pula pemaju yang hanya mahu memberikan pampasan yang disifatkan mereka amat tidak berbaloi.
“Sebelum ini kami ada cadangkan, buatkan kami lot untuk berniaga sementara itu buat tapak sementara di belakang, ada bagi cadangan dengan DBKL boleh je tapi jangan keluarkan kami dari sendiri tempat lain tempat mati, tidak sesuai tidak ada orang datang.Tapi lepas tu senyap begitu sahaja,” katanya.
“Pemaju nak bayar RM24,000 kami mahu paling tidak pun RM50,000 mereka kata kalau tidak mahu tak apa,” katanya lagi.
Zakiah bimbang dengan putusnya punca rezekinya berniaga di Medan Selera tersebut, maka keperluan khususnya sewa rumah kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Giliran Rakyat juga akan tertunggak.
“Saya menyewa di PPR Hiliran Ampang, rumah DBKL juga yang berniaga di sini pun kebanyakannya menyewa di PPR jadi kalau tiada perniagaan kami ni macam mana mahu bayar sewa rumah?
“Sekarang kalau tiga bulan tak bayar, rumah kena tarik,” tambahnya.
Justeru katanya, tidak mungkin peniaga di situ mahu berganjak kerana tiada pihak yang mahu memperjuangkan hak mereka.
Dimaklumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan akan berjumpa dengan peniaga di Medan Selera Semarak itu pada 3 petang ini. -MalaysiaGazette