KUALA LUMPUR – Pengerusi Reform Batu Caves (Reform BC), Arun Doraisamy diselar beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India supaya tidak mencampuri urusan berkaitan Kuil Sri Maha Mariamman Devastanam.

Malah Arun juga diminta ‘menutup mulut’ daripada terus memesongkan isu sebenar yang sedang berlaku kepada umum khasnya masyarakat India berhubung isu berkenaan.

Sebanyak 16 buah NGO seluruh Lembah Kelang yang membuat sidang media hari ini mahu Arun meminta maaf kepada seluruh masyarakat India kerana telah menimbulkan keadaan ‘huru hara’ dengan sengaja menimbulkan tuduhan tidak betul dan berunsur fitnah.

Menurut jurucakap kumpulan, Mytheryar Mutturamalinggam, Arun sebenarnya tidak mempunyai sebarang kelayakan untuk mencampuri urusan kuil berkenaan kerana bukan sebahagian daripada jawatankuasa untuk membuat sebarang keputusan.

“Ini adalah sebuah kes yang sedang melalui proses perundangan, kita ada mahkamah dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menyiasa serta mengeluarkan sebarang kata putus berhubung tuduhan-tuduhan ini. Ianya perlu melalui satu proses perundangan adil.

“Jadi, siapakah Arun untuk campur tangan? Malah siapakah dia untuk memberi kata putus supaya meyingikir lapan ahli lembaga jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Devastanam dalam tempoh tujuh hari?

“Reform BC ini siapa? Siapa beri kuasa kepada mereka untuk singkir atau adakan pemilihan? Sebenarnya ada bayak isu kuil di seluruh pelusuk negara tapi apakah sebenarnya agenda Arun ketika ini? Adakah kerana kuil Batu Caves ini antara kuil terkaya?

“Kami minta Arun untuk jaga tingkah lakunya, untuk menutup mulut daripada berterusan menyebarkan tuduhan-tuduhan melulu selain daripada mencampuri urusan kerajaan dan pihak berkepentingan, awak bukan ‘sesiapa’ pun,” katanya sebentar tadi di Brickfields di sini hari ini.

Mythreyar

Arun baru-baru mengulas tangkapan terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Devastanam bersama dua orang lagi termasuk anak lelakinya dengan SPRM pada Isnin lepas.

Arun mendakwa lapan orang berkenaan yang disenaraikan sebagai pemegang amanah plot tanah milik kuil itu terlibat dalam urusan tanah yang meragukan.

Selain daripada itu, Arun juga mendakwa seramai 69 ahli jawatankuasa kuil yang mewakili 23 kumpulan kecil telah bersubahat dalam salah urus aset kuil termasuk urusan tanah tersebut.

Reform BC juga telah memohon campur tangan Peguam Negara, Tommy Thomas jika tuntutannya tidak dipenuhi dengan dakwaan telah berjaya mengumpul lebih 30,000 tandatangan menuntut mereka meletak jawatan.

Jelas Mytheryar yang juga merupakan Setiausaha Tamilar Kaalam dan Puthiya Tamilar Talamurai, tindakan Arun melalui Reform BC telah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penganut Hindu khasnya di kuil tersebut.

“Kami tidak pasti apakah sebenarnya niat Arun tetapi bukan sesuatu yang baik untuk masyarakat setempat. Bukan sahaja dia tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam kuil malah kes masih lagi berjalan.

“Belum apa-apa sudah membuat sidang media bagi pihak berkuasa dan sengaja membakar sentimen kebencian bagi memanjangkan krisis ini, sabarlah. Tunggu dulu apa pihak berkuasa hendak cakap. Awak bukan polis, SPRM mahu pun jawatankuasa kuil.

“Atas nama demi dan untuk rakyat, kamu pergunakan isu-isu tertentu bagi kepentingan serta agenda peribadi, buat apa yang kamu suka tapi jangan memandai campur isu kuil,” tegasnya. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/07/pdrm-siasat-segera-jika-wujud-penyewelengan-dana-kuil-tamil-malar/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast