Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR- Sembilan suspek termasuk warganegara Mesir dan Tunisia ditahan dalam operasi anti keganasan di Lembah Kelang dan Sarawak bulan lepas.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun, suspek yang terdiri daripada dua warga Malaysia (seorang lelaki dan seorang wanita), enam warganegara Mesir dan seorang lelaki Tunisia.

Mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan di Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak di antara 2 Februari dan 9 Februari lalu.

Jelasnya, operasi dilancarkan selepas pihak polis menerima maklumat mengenai kehadiran suspek-suspek militan yang terdiri daripada kumpulan pengganas, Ansar al-Shariah al-Tunisia yang merupakan sebahagian daripada rangkaian pengganas Al-Qaeda di Utara Afrika.

Tambah Mohamad Fuzi, lima warga Mesir yang ditangkap mengaku mereka merupakan ahli Ikhwanul Muslimin dan bertindak sebagai pemudah cara dengan menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan, kerja dan membeli tiket kapal terbang kepada dua ahli Ansar al-Shariah al-Tunisia.

Siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman menemui pejuang-pejuang militan asing itu cuba menjadikan Malaysia sebagai destinasi transit dan pusat logistik dengan memalsukan dokumen, mengahwini orang tempatan bagi mendapatkan visa pasangan, menyalahgunakan kemudahan pembelajaran serta menjalankan perniagaan di negara ini.

“Kami melihat kemasukan militan asing ke negara ini adalah sesuatu yang serius tambahan selepas kejatuhan ISIS.

“Pengganas-pengganas ini cuba membuka pangkalan di negara ini bagi merancang serangan ke negara lain malah mungkin untuk menyerang Malaysia.

“Disebabkan faktor keselamatan negara, kesemua suspek warga asing telah dihantar pulang ke negara masing-masing mengikut Akta Imigresen 1959/63 di bawah Seksyen 9 (1) pada 5 Mac lalu.

“Mereka juga disenaraihitam seumur hidup dan tidak dibenarkan memasuki Malaysia lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan keganasan di bawah Kanun Jenayah (Akta 574) dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).- MalaysiaGazette