ARIZONA – Akibat teruja mahu berselfie, seorang wanita terpaksa menahan sakit apabila dicengkam oleh seekor jaguar.
Kejadian itu berlaku selepas mangsa bertindak nekad memanjat pagar untuk berada berhampiran dengan kandang jaguar.
Kejadian itu berlaku pada Sabtu lalu.
Akibat kejadian tersebut, wanita yang berusia 30an itu cedera pada lengannya. Namun kecederaannya tidak mengancam nyawa.
Pengarah Zoo Woldlife World, Mickey Ollson yang mengesahkan kejadian itu menyifatkan insiden berkenaan terjadi akibat kesilapan manusia.
Katanya, wanita itu telah memanjat halangan dan menghampiri kandang untuk bergambar bersama jaguar.
Ketika sedang merakam gambar, tiba-tiba jaguar hitam itu mengeluarkannya tangannya lalu menerkam lengan mangsa.
Ollason berkata, pihaknya tidak ada cara untuk mengelakkan orang awam memasuki penghadang ke kandang haiwan itu.
Kejadian itu disedari oleh Adam Wilkerson yang ketika itu sedang merakam video apabila mendengar orang meminta tolong lalu dia berlari memberi pertolongan.
“Jaguar telah mengeluarkan kukunya di luar sangkar dan mencengkam lengan mangsa.
“Ibu saya kemudian bertindak mengeluarkan botol air dan memasukkan ke dalam kandang untuk mengalihkan perhatian haiwan tersebut.
“Jaguar itu melepaskan mangsa. Pada saat itu saya segera menarik mangsa dari kandang,” katanya. – MalaysiaGazette