KUALA LUMPUR – “Saya berasa sangat gembira dan tidak menyangka hari ini adalah hari pembebasan saya,” kata Siti Aisyah yang hari ini dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.
Siti Aisyah, 27, pada satu sidang media di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur hari ini dalam nada gembira turut berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Indonesia. Turut hadir ialah Duta Besar Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirana.
“Terima kasih kepada Presiden Indonesia Jokowi (Joko Widodo), menteri-menteri, pihak kedutaan dan pemerintah di Malaysia kerana membebaskan saya,” katanya.
Ditanya apakah perkara pertama yang ingin dilakukan setelah pembebasannya, Siti Aisyah menjawab beliau ingin bertemu dengan keluarganya.
Tiada kesukaran dihadapi sepanjang tempoh lebih setahun berada dalam penjara malah layanan pihak penjara terhadapnya juga baik selama ini.
“Saya sihat sahaja dan layanan daripada penjara juga bagus malah banyak memberi saya sokongan moral,” katanya.
Sementara itu, Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia Yasonna H. Laoly berkata Siti Aisyah dijangka dibawa pulang ke Indonesia pada hari ini.
“Kami akan mengusahakan proses membawa pulang pada hari ini,” katanya.
Usaha membebaskan Siti Aisyah dilaporkan dibuat menerusi beberapa siri pertemuan termasuk antara Jokowi dengan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Bogor pada Ogos lepas.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam.
Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad menarik balik pertuduhan ke atas Siti Aisyah, warga Indonesia mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.
Mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 9 pagi, 13 Feb 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Siti Aisyah dan Huong dituduh menyebabkan kematian Jong-nam dengan menyapu cecair beracun VX pada mukanya. Kedua-duanya berkata mereka melakukan perbuatan itu kerana beranggapan ia aksi usikan bagi program televisyen (prank).
— BERNAMA
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Aisyah dilepas tanpa dibebas tuduhan bunuh Kim Jong-nam