Tiga lelaki termasuk dua pemilik kilang ditahan kerana disyaki membuang sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, Khamis lepas.

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki termasuk dua pemilik kilang ditahan kerana disyaki membuang sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, Khamis lepas.

Mereka yang ditahan terdiri daripada pemilik kilang memproses bahan kimia berusia dalam lingkungan 50-an dan pemilik kilang memproses bahan lusuh berusia 40-an bersama pekerjanya berusia 50-an.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Datuk Mohammad Ezzani Mat Salleh berkata pemilik kilang memproses bahan kimia itu ditahan petang semalam manakala dua yang lain ditahan pukul 12.30 tengah hari ini.

“Kami tangkap dan serah kepada polis untuk siasatan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar kilang memproses bahan lusuh yang terletak 500 meter dari lokasi pembuangan sisa itu.

Khamis lepas media melaporkan 1,400 pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.

Mohammad Ezzani berkata pemilik kilang memproses bahan kimia ditahan berdasarkan analisis kimia yang dilakukan JAS manakala seorang lagi pemilik kilang ditahan bersama bahan kimia yang serupa atau sepadan dengan yang dibuang ke sungai itu.

Beliau berkata kilang memproses bahan kimia di Kulai adalah berdaftar dan pernah disita sebelum ini berikutan pencemaran manakala bagi kilang memproses bahan lusuh di sini, pihak berkuasa tempatan masih dalam proses untuk mendapatkan pengesahan pendaftaran kilang itu.

“Kedua-dua kilang kini disita dari beroperasi…kami akan ambil tindakan, buka kertas siasatan dan pendakwaan di mahkamah. Kalau boleh dalam minggu ni juga…bergantung kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya dan siasatan polis,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di kilang memproses bahan lusuh hari ini mendapati tiada pekerja lain kelihatan manakala keadaan sekeliling terbiar dengan pelbagai barang buangan dijumpai sekeliling syarikat itu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN: