Noraslina Zainal Abidin

KUALA LUMPUR –  Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan digesa menunggu pengesahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum membenarkan dua buah sekolah yang terlibat dengan pencemaran di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor beroperasi semula.

Pengerusi Sekretariat Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraslina Zainal Abidin berkata, tindakan dengan hanya memberikan cuti hingga hari ini pada hakikatnya membahayakan semua warga dua buah sekolah berkenaan termasuk ibu dan bapa mereka.

Tegas beliau, penutupan sekolah itu sepatutnya diteruskan sehingga ada pengesahan keselamatan daripada pihak berwajib seperti JAS kerana mereka adalah orang bertanggungjawab di dalam menentukan keadaan pencemaran di kawasan kejadian.

“Pengesahan kawasan sekolah sebagai selamat amat penting kerana ianya melibatkan isu kesihatan dan keselamatan semua orang yang berada di dalam serta berhampiran sekolah itu.

“Pihak Kementerian perlu membuat kajian dengan turun padang untuk memahami bencana yang berlaku kerana jelas melalui status yang dimuat naik oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di laman Facebook miliknya menggambarkan beliau masih tidak faham apa yang sebenarnya berlaku.

“Bencana ini bukan kerana kebocoran gas seperti dinyatakan oleh beliau di dalam FB tetapi kesan yang berlaku adalah akibat pembuangan haram sisa kimia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noraslina menambah, arahan supaya guru-guru hadir ke sekolah untuk tujuan gotong royong membersihkan sekolah juga adalah sesuatu yang amat mengejutkan dan mendukacitakan kerana tidak ada langkah keselamatan yang diambil sebelum ianya dilaksanakan.

Jelas beliau, lebih penting lagi tiada sebarang kenyataan daripada pihak JAS dan pihak berwajib yang lain bahawa keadaan di sekolah itu benar-benar selamat dan boleh dilakukan sebarang aktiviti termasuk kerja-kerja pembersihan,.

Katanya, JAS perlu melaporkan sama ada keadaan di kedua-dua sekolah berkenaan benar-benar selamat untuk sebarang aktiviti dilaksanakan sebelum pihak Kementerian Pendidikan mengeluarkan sesuatu arahan.

“Pihak Kementerian juga perlu melihat kepada Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) dan lain-lain Akta serta Undang-undang termasuk peraturan yang berkaitan sebelum sesuatu arahan dilaksanakan.

“Hakikatnya tiada kompromi di pihak kami apatah lagi ianya melibatkan keselamatan dan nyawa, oleh yang demikian pihak berwajib wajar memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan segera,” katanya. – MalaysiaGazette