Seramai 28 mangsa sedang dirawat di hospital dan klinik kesihatan dipercayai ekoran terhidu gas kimia berikutan pembuangan sisa kimia di Sungai Kimkim, dekat Pasir Gudang di sini, awal pagi tadi.

JOHOR BAHRU – Seramai 28 mangsa sedang dirawat di hospital dan klinik kesihatan dipercayai ekoran terhidu gas kimia berikutan pembuangan sisa kimia di Sungai Kimkim, dekat Pasir Gudang di sini, awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Dr Sahruddin Jamal berkata seramai 19 orang dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), tujuh ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang manakala dua lagi di Hospital Penawar.

“Daripada jumlah mangsa yang dihantar ke HSI, lapan kami telah kenal pasti masih dirawat di wad kecemasan Zon Merah iaitu zon kritikal manakala bakinya dirawat di Zon Kuning,” kata beliau ketika ditemui selepas melawat pusat operasi di luar Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Puteh, dekat Pasir Gudang di sini, hari ini.

Kesemua mangsa terdiri daripada 24 pelajar dan empat pekerja kantin sekolah, berusia lingkungan tujuh hingga 40 tahun.

“Buat masa ini, keadaan dah terkawal. Baupun dah berkurangan, namun saya minta kalau ada penduduk yang rasa mereka ada simptom seperti loya, sakit tekak dan sebagainya, cepat-cepat ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” kata Dr Sahruddin.

— BERNAMA