Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, perubahan prosedur pelantikan jawatan penting tersebut telah mencipta sejarah di negara ini.
Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming percaya hukuman mati akan dikekalkan, walaupun hukuman mati secara mandatori dimansuhkan.

Kor Ming berkata, beliau yakin bahawa kerajaan akhirnya hanya akan memansuhkan hukuman mati mandatori sekali gus memberi kuasa kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Beliau juga menjelaskan bahawa manifesto Pakatan Harapan hanya menjanjikan pemansuhan hukuman mati mandatori dan bukannya hukuman mati secara sepenuhnya.

Menurutnya, yang selalu ditahan dalam kes-kes pengedaran dadah ialah keldai dadah termasuk gadis yang tidak tahu apa-apa sementara dalang utama bebas di luar.

“Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagaimanapun memperuntukkan hukuman matiĀ  mandatori ke atas pesalah dan hakim tiada pilihan melainkan menjatuhkan hukuman mati walaupun beliau tahu ada unsur penganiayaan dalam kes.

“Ia merupakan satu langkah dan kemajuan besar jika kami dapat mengembalikan kuasa menjatuhkan hukuman mati itu kepada mahkamah,” katanya kepada Sinchew Daily.

Kor Ming juga berharap kerajaan dapat mengemukakan rang undang-undang mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori pada sesi Dewan Rakyat kali ini atau selewat-lewatnya Julai bagi menenteramkan rasa tidak puas hati rakyat mengenai isu itu.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong telah menemui ramai mangsa, ahli keluarga banduan hukuman mati dan pertubuhan bukan kerajaan berkenaan isu ini.

“Oleh itu, saya yakin kerajaan akan mengambil pendekatan yang baik untuk kedua-dua pihak iaitu mengekalkan hukuman mati, tetapi memansuhkan hukuman mati mandatori,” katanya. – MalaysiaGazette