KUALA LUMPUR – Agrobank mensasarkan pertumbuhan pembiayaan sebanyak RM1.2 bilion pada 2019 sejajar dengan perkembangan industri pertanian di negara ini.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Alwi Mohamed Sultan, setakat dua bulan pertama tahun ini, bank yang memberi fokus kepada sektor pertanian itu telah berjaya merekodkan pertumbuhan pembiayaan sebanyak RM47.62 juta.
“Pada 2018, jumlah baki pembiayaan adalah sebanyak RM10.7 bilion dan pada tahun ini kami mensasarkan peningkatan pembiayaan sebanyak RM1.2 bilion berbanding tahun lalu.
“Daripada jumlah tersebut, kami mensasarkan RM290 juta adalah daripada pembiayaan mikro,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Dialog Niaga Agrobank 2019 di sini hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Tani, Datuk Salehuddin Ayub.
Tambah Syed Alwi, angka hutang tidak berbayar (NPL) juga dijangka semakin menurun kepada empat peratus pada tahun ini berbanding 4.1 peratus pada 2018 dan 4.5 peratus (2017).
Ini didorong oleh beberapa inisiatif yang telah dilancarkan oleh Agrobank termasuk mempergiatkan aktiviti pengutipan hutang, memastikan kualiti aset yang bagus dan memperkukuhkan taja jamin.
Dialog Niaga Agrobank 2019 yang bertemakan Memperkukuhkan Ekonomi dan Mencipta Kekayaan Melalui Bisnes Agro bakal membincangkan pelbagai isu sekitar menjadikan pertanian bukan sekadar sumber rezeki untuk menaikkan taraf kehidupan individu malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Selain prospek dan peluang dalam perniagaan pertanian, dialog itu juga menampilkan usahawan-usawan tani yang telah berjaya untuk berkongsi pengalaman dan memperkasakan usahawan lain menerusi rantaian nilai dan bimbingan keusahawanan.-MalaysiaGazette