Baha Taha
Baha Taha

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sekretariat Geram Kelab N87 Malaysia (Geram) mendesak kerajaan menarik balik penyertaan Malaysia dalam Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ini kerana, penandatanganan kerajaan Malaysia untuk menjadi salah satu peserta Statut Rom dianggap tidak sah kerana tidak mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

Menurut Pengerusi Sekretariat Geram, Baha Taha, selain Majlis Raja-Raja Melayu, sebahagian besar Ahli Parlimen juga tidak tahu- menahu tindakan dilakukan Menteri Luar, Datuk Saifudin Abdullah menandatangani Statut Rom.

Tegas beliau, jika kerajaan tidak menarik balik penyertaan itu, rakyat Malaysia akan bangkit menentang kerana menyertai Statut Rom adalah suatu yang melanggar Perlembagaan Negara.

“Sekretariat Geram dari awal lagi menolak penyertaan Malaysia. Malah, kita minta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis segera menyiasat berdasarkan laporan polis yang dibuat NGO itu baru-baru ini.

“Kita tidak mahu negara kita dijarah dan dijajah oleh bangsa asing dengan menandatangani Statut Rom. Kita ada Perlembagaan Negara, kita sewajarnya menghormati perlembagaan itu,” katanya di sini semalam.

Jelas Baha, NGO itu menjunjung kasih dan menyatakan sokongan penuh kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bangkit mempersoalkan tindakan diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang kononnya sudah memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ditandatangani.

Ujar beliau, jika Tunku Mahkota Johor membantah, NGO itu dan rakyat Malaysia juga menolak Statut Rom dan akan menggesa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) membawa isu itu ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Kita akan jumpa dengan Ahli-ahli Parlimen BN untuk menyatakan bantahan dan penolakan NGO ini dan rakyat akan tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom.

“Kita mahu Ahli-ahli Parlimen mengemukakannya dalam bentuk soalan tambahan agar pihak kerajaan akur dan patuh dengan desakan rakyat,” katanya.

Katanya, beliau sedih dengan kerajaan baharu PH, sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan pada 10 Mei lalu, pemimpinnya asyik menipu rakyat.

“Dah lah menipu sara hidup rakyat dengan SST, janji 100 hari, janji manifesto, dalam isu Statut Rom pun kerajaan sanggup menipu rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette