BANGI – Bekas Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata tujuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan adalah satu tindakan tidak wajar.
Jelas beliau, pindaan itu dilihat hanya memenuhi sentimen dan ego pemimpin PH yang telah berjanji dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
“Perjanjian itu tidak harus dibangkitkan lagi kerana sudah dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan. Tapi rakyat Sabah dan Sarawak terutama orang yang sudah jadi kerajaan sekarang mereka tidak faham,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel dalam Forum Perlembangaan Persekutuan bertajuk Pindaan Perkara 1 (2) Implikasi kepada sistem federalisme di Malaysia yang diadakan di Fakulti Undang-undang Universiti kebangsaan Malaysia (UKM).
Hadir sama adalah Prof Dr Mohamad Agus Yusof, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, dan pensyarah Fakulti Undang-undang, Datin Dr Faridah Jalil.
Mengulas lanjut, Pandikar mempersoalkan tugas dan tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam memberikan nasihat mengenai pindaan Perjanjian Malaysia 1963 tersebut.
“Yang menjadi penasihat kepada Tun Mahathir mengenai Sabah dan Sarawak sekarang adalah Datuk VK Liew.
“Samada dia ada nasihat Perdana Menteri atau tidak mengenai Perjanjian Malaysia 1963 atau tidak. Bila nak laksana kalau sudah berkuasa, jadi kena buat sekarang.
“Jangan buat kerana atas dasar nama sahaja, apa beza kalau pinda Perjanjian Malasyia 1963 dan bagi balik kategori, itu sahaja,” soal Pandikar.
Pada 8 Mac lalu, Vui Keong berkata Kabinet bersetuju untuk membuat pindaan terhadap Perkara 1 (2) Perlembangaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi.
Persetujuan untuk meminda perlembangaan berkenaan telah dibuat semasa mesyuarat Kabinet dan merupakan satu langkah besar ke arah merealisasikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
Justeru itu, Pandikar menegaskan kerajaan tidak perlu meminda Perkara 1 (2) kerana makna dan pengertian dalam Perjanjian Malaysia 1963 itu adalah sama sebagaimana yang dipinda sebelum 1963.
“Negeri-negeri di Semenanjung dikategorikan sebab sudah merdeka sebelum 1967, Sabah dan Sarawak dikategori lain kerana masih lagi tanah jajahan dan Singapura sebagai tanah naungan.
“Itu sebab pada ketika itu dikategorikan sebegitu. Pada tahun 1976 diselaraskan oleh kerajaan pada ketika itu, di mana Sabah dan Sarawak sama taraf dengan negeri di Tanah Semenanjung. Maka disimpan pada satu perenggan sahaja.
“Perasaan orang Sabah dan Sarawak diapi-apikan oleh orang yang ingin menang PRU maka dia kata dengan berlaku sedemikian maka taraf Sabah dan Sarawak telah diturunkan,” jelas Pandikar lagi.
Pindaan perlembagaan ini dijadual dibentangkan di Parlimen pada persidangan ini namun masih belum jelas bila akan dibentangkan.
Untuk rekod, pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette