Sungai Kim-Kim
Abdul Hamid memberi taklimat kepada Chin Tong di pusat operasi di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

PASIR GUDANG – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan untuk membantu menangani insiden pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini dibahagi kepada dua pasukan dengan kepakaran berbeza.

Komander Jurutera Medan Barat, Tentera Darat Malaysia, Brigadier Jeneral Ir. Abdul Hamid Mohd Isa berkata, seramai tujuh pegawai dan 33 anggota lain-lain pangkat terlibat dalam operasi tersebut.

“Kepakaran ATM dalam operasi ini melibatkan kerja-kerja tinjauan iaitu membuat identifikasi, mengambil sampel, penandaan dan membuat laporan sebelum diserahkan kepada pihak kontraktor dilantik bagi kerja pembersihan.

“Satu lagi merupakan pasukan nyah cemar yang akan beroperasi bersama Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bomba,” katanya.

WhatsApp Image 2019-03-15 at 5.17.40 PM
Abdul Hamid Mohd Isa

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui mengiringi Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong melawat pusat rawatan awal pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini.

Sementara itu, Chin Tong yang meluangkan masa kira-kira sejam untuk mendengar taklimat dan melawat mangsa memuji operasi yang dijalankan semua agensi terlibat.

“Lawatan ini bertujuan untuk memahami situasi dan keadaan semasa dan bagi menilai apakah bantuan lain yang boleh diberikan.

“Setakat ini, saya berbangga dengan operasi yang dijalankan ATM dan semua agensi terlibat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette