Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (tengah) diiringi Ketua Pengarah IKIM, Datuk Azizan Baharuddin (empat kanan) bergambar kenangan dengan para peserta pada Seminar Hari Wanita Antarabangsa 2019 di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kabinet dijangka meluluskan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah yang ditubuhkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, proses mengumpul maklum balas kertas cadangan penubuhan mahkamah itu kini dalam peringkat akhir dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Menurut beliau, ianya boleh dibentangkan kepada kabinet selewat-lewatnya pada bulan depan dan kelulusannya akan mengambil masa antara dua ke tiga minggu.

“Saya jangka pada awal Mei nanti kabinet akan meluluskannya dengan harapan ia boleh dipercepat dan boleh menumpukan kepada tuntutan hadanah dan nafkah.

“Lagi pun kertas kerja ini hanya memerlukan kelulusan di peringkat kita (kabinet) sahaja, tidak perlu dibawa ke Parlimen,” katanya selepas merasmikan Seminar Hari Wanita Antarabangsa di sini hari ini.

Menurut Mujahid, kewujudan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah mampu mempercepatkan proses kes perceraian, hak penjagaan anak dan nafkah.

“Maksud Mahkamah Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah ini ialah untuk menyelesaikan secara sekali harung atau sekali gus kerana kebiasaan amalan pada hari ini, proses untuk perceraian, proses menuntut nafkah dan hak penjagaan mengambil tempoh yang agak panjang.

“Penubuhan mahkamah ini juga akan memastikan golongan wanita dan anak terutamanya terus mendapat pembelaan yang sewajarnya. – MalaysiaGazette