Penyanyi, Datuk Sri Siti Nurhaliza membuat persembahan pada Konsert Datuk Sri Siti Nurhaliza On Tour di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto NOOREEZA HASHIM, 16 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Siti Nurhaliza mengesahkan dia penyanyi nombor satu negara apabila lebih 10,000 peminat hadir pada konsertnya di Axiata Arena malam tadi.

Penyanyi berusia 40 tahun itu kembali ke lokasi sama yang sebelum ini dikenali Stadium Putra iaitu lokasi konsert pertamanya yang diadakan pada tahun 1999.

Siti yang menghasilkan 25 album dan 250 lagu telah memberikan penghormatan kepada komposer terkemuka, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah dan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan melalui segmen khas.

MGF16032019_KONSERT SITI15
Penyanyi, Datuk Sri Siti Nurhaliza membuat persembahan pada Konsert Datuk Sri Siti Nurhaliza On Tour di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto NOOREEZA HASHIM, 16 MAC 2019.

Pada persembahan yang mengakhiri siri jelajahnya, Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019, ibu kepada Siti Aafiyah itu menyampaikan 29 lagu antaranya, Badarsila, Balqis, Hati Kama, Nirmala, Jerat Percintaan, Wajah Kekasih, Biarlah Rahsia, Demi Kasih Sayang, Siti Situ Sana Sini, Engkau Bagaikan Permata, Comel Pipi Merah, Percayalah, Bukan Cinta Biasa dan Anta Permana.

Siti turut menyanyikan lagu duet Seindah Biasa bersama penyanyi terkenal Indonesia, Tulus.

Turut hadir menyaksikan konsert itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan keluarga.

MGF16032019_KONSERT SITI22
Gelagat cilik Siti Afiyah bersama Datuk Khalid Mohamad Jiwa sambil diperhatikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamsidar Taharin pada Konsert Datuk Sri Siti Nurhaliza On Tour di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto NOOREEZA HASHIM, 16 MAC 2019.

Dalam pada itu sebagai tanda prihatin dan simpati atas nasib menimpa mangsa keracunan sisa toksik di Pasir Gudang, Johor dan tragedi keganasan di Christchurch, New Zealand,Siti Nurhaliza menghentikan konsert selama beberapa minit untuk bertakafur.

Suasana menjadi sayu apabila Siti mengajak peminat mengenang semua mangsa terutama yang terkorban di New Zealand selain anak seni tempatan yang meninggal dunia, baru-baru ini.

Sementara itu, Yura Yunita dan penyanyi muda, Natasha Sass, diberi kepercayaan untuk membuat persembahan pembukaan.

Konsert yang dibawakan oleh Shiraz Projects itu turut dihadiri oleh beberapa penggiat seni tanah air seperti Siti Sarah, Shuib, Khai Bahar, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Jihan Muse.

Sebelum ini Siti memulakan siri jelajahnya di Jakarta, Indonesia pada 21 Februari dan Singapura pada 2 Mac lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast