Lim Lip Eng
Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP hari ini menggesa polis mengambil tindakan ke atas bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii kerana didakwa mengeluarkan kenyataan ekstrim berupa ancaman.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, jika tiada tindakan diambil, ia akan menggalakkan pihak lain untuk mengeluarkan kenyataan yang sama pada masa akan datang.

“Amat tidak wajar jika ada pemimpin politik menggunakan kata-kata ugutan terhadap orang lain tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan yang dipetik lidah rasmi DAP, Roketkini hari ini.

Menurutnya, tidak ada seorang pun, termasuk Razlan boleh mengatasi undang-undang.

Razlan membuat hantaran berbunyi “elok ditembak puak-puak DAP” di akaun Twitter miliknya pada 15 Mac lalu.

Sehubungan itu, Pakatan Harapan (PH) Kampar membuat laporan polis terhadap Razlan berhubung kenyataan itu.

Menurut Lip Eng, polis perlu segera menyiasat Razlan kerana twit tersebut bukan sahaja menyebarkan kebencian, malah boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Kepong itu berdiam diri daripada bersuara berhubung kenyataan beberapa pemimpin DAP yang sengaja mencetuskan kemarahan orang Melayu dan Islam seperti gelaran Taliban dan kerjasama Pas-UMNO dianggap sebagai perang kepada orang bukan Islam. – MalaysiaGazette