Zainal Amanshah

KUALA LUMPUR – InvestKL pada tahun ini mensasarkan untuk menarik 13 syarikat multi nasional dengan fokus kepada pelaburan bernilai, berkemahiran tinggi dan diterajui oleh inovasi untuk mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti di negara ini.

Meskipun ekonomi dunia perlahan dan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, pelaburan Malaysia masih kekal berdaya tahan memandangkan keputusan pelaburan dibuat dalam tempoh masa yang panjang.

Lantaran itu, InvestKL yakin dapat menarik pelaburan yang lebih baik pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Zainal Amanshah berkata, pada tahun ini Amerika Syarikat, Eropah, China, Jepun dan Korea Selatan menjadi sasarannya.

Ini kerana, kesemua negara berkenaan memiliki enam sektor yang kukuh yang disasarkan iaitu teknologi pintar, tekonologi pelanggan, e-dagang, peranti perubatan, industri automasi dan tenaga diperbaharui.

“Pelabur positif mengenai Industri 4.0 yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

Dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Malaysia Industri tahun lepas, pelan tindakan Industri 4.0 menggariskan langkah konkrit meningkatkan proposisi nilai kepada pelabur dalam bidang seperti kecerdasan buatan, analisis data besar, Internet of Things, awan pengkomputeran dan keselamatan siber.

Zainal berkata, InvestKL pada tahun lalu berjaya menarik 12 syarikat MNC dengan pelaburan yang dilulus dan komitmen sebanyak RM2.3 bilion dengan 1,339 peluang pekerjaan.

Sejak dilancarkan pada 2011, penganjuran InvestKL meraih pelaburan berjumlah RM11.7 bilion dengan 11,693 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

MNC itu termasuk syarikat-syarikat Fortune 500, antaranya, Orange (France), MetLife (AS.), Electrolux (Sweden),
EY (UK), Accenture (Ireland), PERSOLKELLY (Japan/ AS), China Pacific Construction Group
(China) dan Wood (UK).

Sepanjang tempoh 2011 hingga 2018, sejumlah RM6.63 bilion atau 57 peratus pelaburan berjumlah RM11. 7 bilion telah direalisasikan.

Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 7,516 atau 64 peratus daripada 11,693 pekerjaan berkemahiran tinggi sudah pun menerima gaji.

Daripada jumlah 7,517 pekerjaan, 80 peratus adalah dalam kalangan warga negara dengan purata pendapatan tahunan sebanyak RM110,124 atau AS$26,610 berdasarkan kadar pertukaran 4.13. – MalaysiaGazette