Abdul Aziz Abdul Rahman
Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran tidak menutup perkhidmatan Malaysia Airlines, sebaliknya terus mengekalkannya sebagai syarikat penerbangan nasional negara.

Bekas Pengarah Urusannya, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman turut menyarankan kerajaan agar tampil dengan satu kertas kerja untuk meneruskan kelangsungan operasi Malaysia Airlines.

Beliau berkata, ia penting sebagai hala tuju syarikat itu untuk bergerak di sebalik kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan.

“Pada masa sama, kerajaan boleh membuka peluang dengan menggalakan syarikat swasta yang ingin menjalinkan kerjasama untuk membangunkan Malaysia Airlines.

“Cuma kerajaan perlu mendedahkan apa situasi terkini Malaysia Airlines dan masalah yang dihadapi sekarang,” katanya.

Beliau demikian pada sidang media mengenai masa depan Malaysia Airlines anjuran Persatuan Pesara Penerbangan Malaysia (MASRA) di sini hari ini.

Turut hadir Presidennya, Kapten Abdul Razak Hashim.

Malaysia Airline System Bhd. telah ditukar nama kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB) pada 1 Julai 2015 susulan pelaksanaan penstrukturan syarikat penerbangan itu.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz turut mempersoalan tindakan pengurusan Malaysia Airlines yang masih bergantung harap dengan orang asing.

Jelas beliau, dianggarkan masih terdapat 10 orang asing yang berada di dalam pengurusan syarikat ketika ini.

Menurutnya, Malaysia Airlines perlu memberi peluang kepada anak tempatan yang juga memiliki kepakaran dan pengalaman yang sama dengan orang asing.

“Sebelum ini saya pernah telefon Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar berhubung orang asing menguruskan Malaysia Airlines.

“Beliau panggil saya berjumpa dan saya persoal isu itu namun beliau memberitahu pernah menemubual lima anak tempatan dan ke semuanya didapati tidak layak.

“Saya pun tidak tahulah siapa yang temubual mereka ketika itu,” katanya.

Abdul Aziz turut mengulas tentang isu Malaysia Airlines yang sering kali disalah anggap sebagai monopoli dalam industri penerbangan negara.

Jelas beliau, Malaysia Airlines hanya boleh dianggap sebagai monopoli operator sahaja namun syarikat itu tidak boleh mengenakan caj sesuka hati.

“Tambang antarabangsa pula dikawal oleh AITA (Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa).

“Jadi Malaysia Airlines bukan monopoli sepenuhnya kerana tidak boleh buat apa Malaysia Airlines suka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast