Kebanyakan tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah melepasi proses semakan dan mula dibayar balik secara berperingkat sehingga akhir tahun, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri T.Subromaniam. 
Kerajaan akan menambah baik dari aspek kecekapan proses bayaran balik jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula,

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen menjangka dapat menyelesaikan siasatan mengenai isu tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah kira-kira RM19.4 bilion menjelang akhir sesi persidangan Dewan Rakyat bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata lapan mesyuarat prosiding dijalankan sejak 12 Sept 2018 dengan Jabatan Audit Negara (JAN) sudah dua kali memberi taklimat kepada PAC mengenai pengauditan terhadap tuntutan bayaran balik GST itu.

“PAC Parlimen meminta JAN untuk menjalankan pengauditan terperinci terhadap semua tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion bagi menentusahkan (verify) bahawa tuntutan berkenaan benar-benar berasas untuk dibayar balik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dewan Rakyat bersidang sehingga 11 April.

Kiandee berkata PAC juga sudah mendengar penjelasan daripada semua pihak berkepentingan yang terbabit dalam perkara itu termasuk Menteri Kewangan, Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, mantan Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan II serta mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Beliau berkata jawatankuasa itu memberi jaminan segala rumusan dan syor yang akan dikemukakan kepada kerajaan berhubung isu berkenaan meliputi semua aspek dan disokong dengan data-data daripada pengauditan JAN.

Dalam pada itu, PAC juga akan meneruskan prosiding isu Projek Sistem Caj Kenderaan (RC) dan Permit Kenderaan Masuk (VEP) pada 26 dan 27 Mac ini.

Kiandee berkata prosiding itu dimulakan pada 20 Feb lepas dengan memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Mohd Khairul Adib Abdul Rahman bagi memberi penjelasan.

Beliau berkata PAC juga akan memanggil bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk menghadiri prosiding berhubung isu itu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast