Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kedudukan Malaysia merosot dua anak tangga kepada tempat ke-3 pada tahun 2015 dari segi aliran kewangan haram dalam Laporan Integriti Kewangan Global (GFI).

Laporan itu diterbitkan pada bulan Januari 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Malaysia secara konsisten sejak tahun 2005 telah menduduki tempat kelima teratas dalam kalangan 148 negara membangun yang mempunyai aliran kewangan haram terbesar kecuali pada tahun 2013 di tempat keenam.

Menurutnya, GFI mengunjurkan sejumlah AS$33.7 bilion (RM131.8 bilion) aliran wang haram di Malaysia pada tahun 2015.

Negara tertinggi yang merekodkan wang haram adalah China dengan (AS$222 bilion), diikuti Mexico (AS$42.9 bilion) dan Rusia ditempat keempat (AS$31 bilion).

Arab Saudi (AS$16.1 bilion dan Thailand (AS$14.7 bilion).

Guan Eng berkata, kesalahan berat yang disenaraikan dalam pindaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) sentiasa diteliti dan disemak serta ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan dan trend kegiatan jenayah yang berlaku.

Setakat ini, terdapat 416 kesalahan berat daripada 49 akta yang telah disenaraikan di bawah jadual tersebut.

“Kerajaan komited untuk memastikan peruntukan-peruntukan di bawah AMLATFA selaras dengan piawaian antarabangsa
dan memenuhi keperluan agensi penguat kuasa pada setiap masa,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Wong Ka Siong (Ayer Hitam-BN).

Jelasnya, kesalahan-kesalahan yang melibatkan cukai pendapatan dan perkastaman adalah termasuk dalam 21 kategori kesalahan berat yang disenaraikan oleh Financial Action Task Force (FATF), iaitu sebuah badan antarabangsa yang menetapkan piawaian untuk langkah-langkah pencegahan jenayah pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan percambahan senjata pemusnah besar-besaran.

Selaras dengan piawaian antarabangsa, kesalahan-kesalahan tersebut telah dimasukkan ke dalam senarai kesalahan berat di bawah Jadual Kedua AMLATFA, bagi membolehkan agensi penguat kuasa menyiasat kes-kes tersebut.

Kes-kes pengelakan duit dan cukai yang berat dan serius akan diberikan keutamaan.

Langkah ini akan mendorong kepada penguatkuasaan yang lebih berkesan memandangkan kuasa siasatan di bawah AMLATFA adalah menyeluruh dan mencakupi kuasa-kuasa pembekuan, penyitaan dan pelucuthakan harta, serta amat berkesan untuk memastikan apa-apa hasil daripada aktiviti wang haram dapat dikenalpasti bagi penguatkuasaan undang-undang. – MalaysiaGazette