Parlimen
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

BANTING – Kerajaan perlu mengkaji kesan di sebalik cadangan untuk bertindak balas terhadap tindakan Kesatuan Eropah (EU) yang bukan sahaja memboikot bahkan memburukkan komoditi negara iaitu kelapa sawit di mata dunia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan balas yang boleh diambil kerajaan pada masa ini ialah dengan mengurangkan pembelian barang-barang tertentu dari negara Eropah.

“Kita akan kurangkan, kita tak boleh berperang kerana kita nak kena beli juga barang mereka, tapi barang tertentu kita tak akan beli.

“Ini (boikot) bukan boleh buat secara tergesa-gesa, kita kena kaji kesan, kalau kita dapati kesannya baik, kita ambil tindakan (boikot).

“Eropah tetap kurangkan eksport komoditi kita, walaupun Eropah bukan pasaran terbesar, ada negara-negara lain yang menjadi pasaran terbesar.

“Tapi kempen untuk memburukkan imej kelapa sawit itu kita tak boleh terima,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Sayangi Sawitku, di Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Carey, di sini, hari ini.

Terdahulu Dr Mahathir dalam ucapannya berkata sudah sampai masanya Malaysia membalas tindakan Kesatuan Eropah yang memburukkan produk kelapa sawit semata-mata untuk menjaga kepentingan produk berasaskan kacang soya di pasaran dunia.

Kesatuan Eropah sebelum ini bertindak memburukkan imej kelapa sawit dengan mendakwa tanaman komoditi itu diusahakan dalam kawasan hutan simpan menyebabkan binatang liar hilang habitat dan menjejaskan ekosistem termasuk kitaran oksigen.

Dr Mahathir juga tidak menolak tindakan memboikot dan memburukkan imej minyak kelapa sawit yang merebak di negara-negera Eropah lain sekiranya ia dijadikan usul dan diluluskan oleh Parlimen Eropah.

“Mereka mempunyai Parlimen Eropah, dan perkara ini dibahaskan di Parlimen Eropah, kalau ia buat keputusan, semua negara Kesatuan Eropah mestilah patuh.

“Sekarang ini British tiada dalam Kesatuan Eropah, mungkin dia akan jadi baik lagi,” katanya.

Katanya lagi, sehingga kita Kesatuan Eropah masih gagal untuk membuktikan minyak kelapa sawit memudaratkan nyawa manusia sekiranya dimasukkan ke dalam makanan.

“Kalau dia berjaya membuktikan kelapa sawit ini kalau makan akan mati, saya ingat orang lain akan silap, tapi setakat ini dia tak berjaya tunjuk kelapa sawit ini adalah satu racun.

“Tapi dia akan berusaha setakat label kelapa sawit ini tak boleh dimakan, barangan ini tak termasuk kelapa sawit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.