Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman mencabar pasangan yang berkahwin agar mendaftarkan perkahwinan mereka.

Tegas beliau, perkahwinan yang tidak didaftar hanya akan menyebabkan anak mereka sukar mendapatkan sijil kelahiran sekali gus menjadi tidak sah taraf.

“Saya hairan masih ada ibu bapa tidak mendaftarkan perkahwinan, apa yang dimalukan saya pun tidak tahu, sepatutnya berani kahwin berani daftar, berani buat berani tanggung,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini yang membuatkan suasana menjadi gamat seketika.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ngeh Koo Ham (PH DAP-Beruas) mengenai status kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang berpunca ibu bapa tidak mendaftarkan perkahwinan mereka.

Sebelum ini, Mohd. Azis berkata, anak pasangan bukan warganegara tidak semestinya secara automatik dianggap warganegara walaupun dilahirkan di negara ini.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini tiada individu yang direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

“JPN hanya merekodkan status seseorang sebagai kewarganegaraan atau bukan warganegara berdasarkan status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa mereka sewaktu kelahiran,” katanya.

Mengenai ibu bapa kanak-kanak lewat mendaftar perkahwinan atau ibu kanak-kanak terbabit bukan warganegara, Mohd. Azis berkata, permohonan boleh dikemukakan kepada JPN mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dan akan dipertimbangkan sekiranya memenuhi syarat dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

“Menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga untuk menguruskan dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan dengan negara asal kanak-kanak bertaraf bukan warganegara, sebelum kanak-kanak itu berusia 21 tahun ke bawah bagi mengelakkan isu keberadaan tidak sah di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette