JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak pengakuan bersalah tiga lelaki atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang vokalis kumpulan muzik dengan menggunakan tong sampah aluminium pada minggu lalu.
Ketiga-tiga tertuduh, Samsul Muarif M Padal, 36; Mozlani Tukimon, 35 dan Muhammad Ahnaf Ab Rahman, 34, pada awal prosiding mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Bagaimanapun selepas fakta kes dibacakan, Mozlani dan Muhammad Ahnaf tidak mengakui fakta kes berkenaan dan menafikan ada memukul mangsa menggunakan tong sampah.
Mahkamah kemudian tidak menerima pengakuan salah mereka yang didakwa bersama-sama itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Zaid Nazim Zainal Abidin, 23, dengan jalan menggunakan alat yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin menyebabkan kematian iaitu tong sampah aluminum.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah gimnasium dekat City Plaza, Jalan Wadi Hana di sini pukul 10.30 malam, 10 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua seksaan itu jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya R Nevina mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 terhadap setiap tertuduh sebelum dibantah peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Goh Poh Gek yang mewakili ketiga-tiga tertuduh.
Goh berkata, Samsul Muarif yang masih bujang menanggung ibu bapa yang uzur dan tidak mempunyai pekerjaan serta gaji yang tetap.
Sementara Mozlani, katanya, yang juga masih bujang hanya bekerja kilang dan menanggung ibunya dengan gaji RM2,000 sebulan.
“Muhammad Ahnaf pula sudah bercerai dan mempunyai seorang anak. Dia seorang freelance dengan gaji RM2,000 sebulan. Ketiga-tiga mereka adalah pesalah kali pertama,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette
















