Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengakui tugu peringatan askar Jepun memang sudah lama wujud di Alor Setar.

Tugu itu telah dibina oleh Jepun semasa negara itu menjajah Tanah Melayu semasa zaman Perang Dunia Kedua.

Tetapi persoalannya, kata Najib mengapa Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris tiba-tiba merasmikan tugu itu sebagai Tugu Wira.

“Mereka kata tugu ini dah lama ada masa BN. Ya, betul. Tugu Peringatan ini memang dah lama ada.

“Tetapi buat apa EXCO PH tiba-tiba merasmikan tugu itu sebagai Tugu Wira Jepun setelah diminta oleh Konsulat Jepun?

“Siap dinaikkan papan tanda besar baru Wira Jepun,” kata Najib sambil menyindir isu itu pun hendak menyalahkannya.

Isu itu tercetus apabila banyak pihak mempersoalkan perkataan ‘wira’ diletakkan pada papan tanda tugu berkenaan.

Perkataan itu sudah tentu tidak sesuai untuk digunakan kepada tentera penjajah.

Susulan kritikan itu, Mohd Asmirul sudah mengarahkan papan tanda tugu itu diturunkan dan perkataan ‘wira’ digantikan dengan ‘askar’.

Asmirul berkata, tugu itu sudah wujud ketika pentadbiran BN dan Pejabat Konsulat Jepun menawarkan untuk melakukan proses pemulihan kerana ia berada dalam keadaan tidak terjaga.

Tugu peringatan itu bagi mengenang askar Jepun yang terkorban semasa menakluk jambatan Alor Setar ketika menjajah Tanah Melayu pada 13 Disember 1941. – MalaysiaGazette