KUALA LUMPUR – Pemerkasaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mulai tahun 2020 akan dilaksanakan melalui dua kaedah.

Ia mengekalkan Pentaksiran Pusat (PP) sedia ada bagi lima mata pelajaran dan Pentaksiran Sumatif peringkat menengah rendah kendalian sekolah bagi 18 mata pelajaran yang lain.

Ia dilihat antara usaha awal Kementerian Pendidikan untuk memantapkan konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang dilaksanakan dari murid tahun satu sejak tahun 2011 dan pelajar tingkatan satu sejak tahun 2012.

Lembaga Peperiksaan (LP) KPM dalam kenyataan hari ini berkata, PP merujuk kepada pentaksiran yang dilaksanakan secara perkongsian akauntabiliti antara Lembaga Peperiksaan (LP) dan pihak sekolah iaitu kertas soalan ujian bertulis disediakan oleh LP dan pentadbiran pentaksiran dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah.

“Pentaksiran Sumatif pula ialah pentaksiran yang dijalankan di akhir suatu pembelajaran seperti peperiksaan akhir tahun, yang bertujuan untuk memperoleh maklumat tentang pencapaian murid dan dilaksanakan sepenuhnya oleh sekolah.

“Bagi tahun 2019 Lembaga Peperiksaan yang menyediakan kertas soalan bagi ujian bertulis tetapi bermula 2020 dan beberapa tahun seterusnya, kertas soalan bagi ujian bertulis disediakan oleh sekolah menggunakan bank soalan dan panduan yang disediakan oleh LP,” katanya.

Menurutnya, format PT3 Mulai tahun 2019 telah dibangunkan mengikut kesesuaian dan keperluan Kurikulum Standard Sekolah Menengah. Usaha ini telah mengambil kira pandangan murid, guru, pentadbir dan ibu bapa melalui kajian berkaitan pelaksanaan PT3 yang dijalankan sejak tahun 2015.

Format baharu ini juga akan digunakan pada tahun 2020 dalam pemerkasaan PT3.

Justeru kata kenyataan yang sama ia melibatkan urus berkaitan perubahan format PT3 dan Pemerkasaan PT3 telah diadakan bersama NUTP dan 30 wakil kesatuan dan persatuan guru pada 11 Disember 2018 disamping perubahan format PT3 juga telah dimaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melalui Surat Siaran LP Bil. 5/2018: Format PT3 Bagi Mata Pelajaran KSSM Mulai Tahun 2019 bertarikh 29 November 2018.

Seterusnya, JPN telah membuat pemakluman kepada sekolah mulai bulan Disember 2018. Maklumat lanjut berkaitan format PT3 tersebut boleh diperoleh di portal LP: www.lp.moe.gov.my.

KPM turut menegaskan, pihaknya sentiasa memastikan usaha berterusan bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran guru dalam bidang pentaksiran pendidikan dilaksanakan bagi menjamin kualiti pentaksiran selaras dengan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).

Menurut LP lagi, pemerkasaan PT3 juga bertujuan memberi lebih autonomi kepada pihak sekolah dalam pengurusan pentaksiran pendidikan selain memartabatkan profesion keguruan dengan mengiktiraf kepakaran dan peranan guru dalam bidang pentaksiran pendidikan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast