Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berucap pada Program Symposium New Malaysia,The End Of Affiemative Action di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak cukup pantas untuk memperjuangkan hak kesamarataan khususnya peluang pendidikan sebagaimana yang dinikmati oleh anak-anak Melayu dan bumiputera di negara ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, memandangkan pemimpin parti komponen PH sudah lama menjadi pembangkang sebelum membentuk kerajaan, mereka tidak boleh mengamalkan kepatuhan melulu sebagaimana pentadbiran terdahulu.

“Hakikatnya oleh kerana kita menjadi pembangkang sejak sekian lama, bila kita tubuh kerajaan kita boleh suarakan, kita tidak semudah yes man seperti kerajaan terdahulu.

“Apa yang kita dapat keadaannya di mana komplikasi bahasa, penjelasan di mana naratifnya dirampas dan kerana kita tidak cukup cepat.

“Ada isu bersangkut paut dengan apa yang dikatakan Tun Dr. Mahathir (Mohamad) masalah melibatkan penjawat awam. Naratifnya dirampas dan menjadi agenda pihak lain,” katanya pada sesi soal jawab dalam Simposium bertajuk Kerajaan Baru, Dasar Baru, Pengakhiran Tindakan Menguatkuasa di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya petang tadi.

MGF30032019_Symposium New Malaysia, The End Of Affirmative Action_03
Ketua Kumpulan Pakar Majlis Harga Negara (MHN), Tan Sri Dr. Kamal Mat Salih berucap pada Program Symposium New Malaysia,The End Of Affiemative Action di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2019

Sementara itu, Fahmi juga berkata, sebagai kelab penyokong Kerajaan PH, beliau dan ahli Parlimen lain tidak akan membenarkan kerajaan meratifikasi Statut Rom tanpa dibentangkan ke Parlimen.

“Apabila kita nak ratifikasi Statut Rom contohnya, ia berlaku dengan cepat. Sebelum mana-mana perjanjian utama diratifikasi, ia mesti dibentang dan dibawa kepada Parlimen untuk dibahaskan.

“Ini kerana kita mahu beri maklum balas untuk menangani ketakutan dan persepsi rakyat, kita perlu respon,” katanya.

Katanya lagi, begitu juga dalam soal ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kerajaan agak lambat memahamkan rakyat tentang kebaikannya hingga dimanipulasi oleh pembangkang untuk menimbulkan persepsi serong.

“Perkataan seperti ICERD, apa dia ICERD kepada seseorang di Bagan Serai, Sabah, Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu atau Kalabakan?

“Ini kerana kita tidak cukup pantas untuk mengisi nilai itu, sesiapa yang mengisi dengan nilai dan dirampas secara politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast