Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang memberikan pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) hanya akan mengundang polemik yang berpanjangan.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad berkata, mengiktiraf UEC bermakna akan melahirkan generasi kaum Cina yang semakin terpisah daripada idea asimilasi dan pergaulan antara kaum.

Menurutnya, kesan itu tidak dirasai secara mengejut, namun, masalah perbezaan pendapat di antara kaum akan lebih diburukkan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf UEC hanya atas dasar kepentingan masyarakat Cina semata-mata.

“Seandainya kerajaan Malaysia di bawah PH tunduk dengan tindakan Tommy Thomas membenarkan Lembaga Kelayakan Profesional Undang-Undang Malaysia (LKPUM) mengiktiraf sijil UEC, ini akan membuka isu yang lebih besar dalam jangka masa panjang.

“Ini kerana, kerajaan terpaksa mencari jalan menerima kedua-dua sijil dalam sistem sosial yang sedia ada.

“Pengiktirafan UEC juga akan terus mewujudkan kebimbangan orang Melayu kerana negara ini telah mempunyai sistem pendidikan yang telahpun mantap,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, Tommy mungkin terlepas pandang bahawa sejak mula lagi, UEC tidak diiktiraf oleh kerajaan bermula zaman Tunku Abdul Rahman.

Ujarnya, pendapat itu turut sama dipegang oleh tokoh sezaman beliau seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin.

“Tokoh-tokoh itu turut sama memacu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan mereka memiliki semangat nasional yang tinggi.

“Apa yang lebih dikhuatiri, jurang di antara kaum akan menjadi lebih besar kerana UEC dilaksanakan di sekolah-sekolah persendirian Cina.

“Dengan medium pengajaran bahasa Mandarin, ini akan mengakibatkan kurangnya pendedahan komunikasi di antara pelajar di sekolah tersebut dengan pelajar dari kaum lain di negara kita,” ujarnya.- MalaysiaGazette