Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Xtra20 dan Railtime di Stesen Sentral, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui laporan akhir Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) mempunyai isu dan maklumat sensitif hingga ia terpaksa diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu mesyuarat sebelum laporan itu dipertimbangkan untuk didedahkan kepada umum atau tidak.

“Laporan CEP itu saya difahamkan kita akan bermesyuarat, banyak pengurusan dan saya akan berbincang dengan Perdana Menteri.

“Ada sesetengahnya belum habis lagi, belum diselesaikan, oleh itu mesti diambil kira dan ada isu dan sensitif serta maklumat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kad Diskaun Xtra20 KTM Komuter, di Kuala Lumpur Sentral hari ini.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diiringi Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Xtra20 dan Railtime di Stesen Sentral, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 MAC 2019

Semalam, Mahathir dalam satu media di Langkawi berkata, kerajaan tidak boleh mendedahkan laporan CEP kepada umum memandangkan terdapat beberapa perkara di dalamnya yang masih di peringkat rundingan.

Mahathir berkata, beliau sedar bahawa kerajaan dituduh sebagai tidak telus kerana pendirian itu, namun menjelaskan pihaknya memerlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan seterusnya.

Pada Khamis lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin memberitahu Dewan Rakyat bahawa laporan itu akan terus dilindungi mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak seperti kerajaan sebelumnya, pentadbiran semasa tidak akan menggunakan OSA untuk menyembunyikan rasuah.

Laporan akhir CEP hanya diberikan kepada Perdana Menteri dan ia tidak diniatkan dikongi kepada khalayak ramai.

CEP ditubuhkan pada 12 Mei oleh Mahathir untuk bertindak sebagai penasihat mengenai isu ekonomi, kewangan dan perkara-perkara lain.

Majlis itu dianggotai lima ahli iaitu Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Robert Kuok, Tan Sri Hassan Marican dan Prof Jomo Kwame Sundaram. – MalaysiaGazette