PRK RANTAU – Masalah ancaman keselamatan yang dihadapi seramai 45 penghuni kelainan upaya dari Bengkel Seri Sembilan, Batu 8, Mambau di sini akan diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.
Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Ismail Ahmad sedih melihat keadaan bangunan bengkel itu yang diuruskan oleh badan bukan kerajaan itu.
Bengkel di atas tanah seluas 13 ekar yang memerlukan pemulihan segera termasuk pagar keselamatan di sekeliling tanah yang merangkumi aktiviti pertanian, katanya.
“Saya terkejut, sepatutnya ia (masalah itu) diselesaikan 20 tahun lalu tetapi tak ditangani. Ini baru kami ambil alih sembilan bulan kerajaan baharu negeri akan cuba selesaikan sebaik mungkin terhadap masalah keselamatan, kebajikan yang dihadapi mereka.
“Difahamkan, mereka tidak mampu menampung kos begitu besar sebab berstatus NGO dan permohonan dibuat banyak kali kepada kerajaan negeri terdahulu.
“Saya mahu memastikan masalah ini diselesaikan dan mahu menunjukkan satu calon terbaik yang melawat secara mengejut kali ini yang akan bertanding untuk PRK Rantau,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labu.
Sebelum itu, Ismail mengiringi calon Pakatan Harapan, Dr. S. Streram melawat bengkel berkenaan di sini hari ini.
Dalam pada itu, pengurusnya, Harunarrsheed Mohd. Ibrahim menyatakan penghargaan dengan lawatan calon PRK Rantau dan exco kerajaan negeri meninjau keadaan bangunan bengkel OKU itu. ambil alih bengkel 1980.
“Sekarang bengkel ini tidak selamat sebab tiada pagar keselamatan menjaga penghuni serta pertanian yang diusahakan di tanah seluas 13 ekar (5.26 hektar) yang diancam hidupan liar dan penceroboh.
“Permohonan telah dibuat kepada MB sebelum ini serta kementerian tetapi mungkin terlepas pandang ke saya tak pasti harap kerajaan negeri baharu ini serta calon nampak peka dan selesaikan masalah kami,” ujarnya.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/02/penghuni-oku-bengkel-seri-sembilan-diancam-bahaya-penceroboh/