Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Seri Sabin Samitah bercakap kepada media selepas Pelancaran Malaysian Tax Conference 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Seri Sabin Samitah tidak mampu memberi jawapan sama ada wang derma dari luar negara perlu dikenakan cukai atau tidak.

“Wang derma asing? Hehehe (tersengih)… Saya perlu melihat fakta terlebih dahulu.

“Ini kerana, sebenarnya saya tidak boleh membuat generalisasi (kenyataan umum) kerana ia perlu dilihat mengikut kes,” katanya ketika ditanya sama ada Malaysia meletakkan peraturan untuk mengenakan cukai terhadap wang derma yang diterima dari negara luar.

Sabin sebelum itu ditanya soalan khusus sama ada LHDN telah membuat tuntutan sebanyak RM1.5 bilion cukai tambahan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi pendapatan yang tidak diisytihar sebanyak RM4 bilion termasuk derma dari keluarga Arab Saudi berjumlah RM2.6 bilion.

MGF03042019_TAX CONFERENCE_02
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Seri Sabin Samitah bersalaman dengan Presiden Malaysian Institute of Accountants, Salihin Abang (kiri) sambil diperhatikan oleh Presiden MalaysiaN Association of Tax Accountants (MATA), Datuk Abdul Aziz Abu Bakar hadir pada Pelancaran Malaysian Tax Conference 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 APRIL 2019

Bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan perkara tersebut, di samping tidak menjawab kenyataan Najib yang mengatakan wang derma asing tidak dikenakan cukai di negara ini.

“Saya tidak boleh komen perkara itu (wang derma asing).

“Saya juga tidak boleh komen (tuntutan LHDNM terhadap Najib) kerana terikat dengan kerahsiaan dan tidak boleh membincangkan maklumat individu dengan orang ramai.

“Saya rasa eloklah anda bertanya kepada Datuk Seri (Najib) sendiri (sama ada beliau ada menerima surat daripada LHDN),” katanya.

Dua hari lepas The Edge Markets melaporkan Najib telah diminta untuk membayar cukai sebanyak RM1.5 bilion oleh LHDN.

Katanya, bil tersebut adalah untuk tempoh 2011-2017 yang merupakan jumlah lain dari cukai pendapatan yang sudah dibayar ahli parlimen Pekan itu selama tujuh tahun.

Sumber yang dipetik laporan itu berkata, Najib sudah dimaklumkan berhubung perkara berkenaan melalui surat yang dihantar LHDN kira-kira seminggu lalu.

Dalam hantaran di Facebooknya semalam, Najib menegaskan, wang derma asing tidak perlu dikenakan cukai di negara ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast