Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja rakyat, pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) juga kecewa dengan prestasi Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Rasa kecewa itu dizahirkan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil apabila ada dalam kalangan Ahli Parlimen dari kedua pihak berbalas hujah dengan masing-masing mengeluarkan perkataan kurang sopan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, walaupun dibaca Peraturan Mesyuarat 36(4) dan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengeluarkan arahan agar menarik balik perkataan kurang sopan itu, ada yang degil tidak berbuat demikian.

Terbaharu, katanya, dalam sesi penggulungan oleh Menteri Kewangan semalam, seorang Ahli Parlimen dari Pas mengeluarkan perkataan pondan kepada Lim Guan Eng.

“Saya kesal dengan YB Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary enggan menarik balik panggilan “pondan” yang dilemparkan kepada YB Bagan (Guan Eng).

“Walaupun selepas saya membaca Peraturan Mesyuarat 36(4) dan Yang Dipertua arah tarik balik, beliau tidak berbuat demikian.

“Perkataan “pondan” itu terutama dalam konteks yang beliau sebutkan, adalah kurang sopan,” katanya dalam ciapan Twitternya, semalam.

Menurut Fahmi, tegurannya bukan sahaja di sebelah pembangkang, Ahli Parlimen pihak kerajaan yang menggunakan perkataan kurang sopan juga turut ditegurnya.

Katanya, sebelum ini pun beliau ada bangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(4) kepada Ahli Parlimen Tanjong dari DAP, Chow Kon Yeow yang mengeluarkan perkataan bodoh kepada pembangkang.

“Malah saya ulangi isu Bahasa dalam perbahasan saya sendiri semalam.

“Semua Ahli Parlimen, tidak kira kerajaan atau pembangkang perlu prihatin dan lebih berhemah dalam berbahas,” katanya. – MalaysiaGazette