Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Jalan Duta menegur Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak melaksanakan perkhidmatan mengikut janji pada Piagam Pelanggan jabatan itu.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz ketika menyatakan perkara itu berkata, mahkamah membuat teguran itu selepas mendengar hujah dari pihak Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali yang memfailkan semakan kehakiman terhadap Ketua Pengarah ROS hari ini.

Menurutnya, Bahagian Rayuan dan Kuasa Khas Mahkamah Tinggi mengambil maklum Piagam Pelanggan itu kerana sebagaimana tertera dalam laman web jabatan berkenaan, ia menjanjikan proses kelulusan permohonan mengambil masa lima hari bekerja sahaja.

“Sedangkan permohonan Dr. Ibrahim untuk mendapatkan kelulusan penubuhan parti baharunya, Putra sudah enam bulan tanpa sebarang keputusan.

“Hakim sendiri menyatakan apa yang berlaku itu bertentangan dengan Piagam Pelanggan, dan ROS tidak boleh memberikan sesuatu janji yang tidak boleh dipenuhi,” katanya kepada media di lobi Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Jelas Mohd Khairul Azam, selepas mendengar hujahan kedua pihak iaitu beliau selaku peguam Dr. Ibrahim dan Peguam Persekutuan yang mewakili Pejabat Peguam Negara, mahkamah memutuskan untuk menangguhkan proses memberi kebenaran itu pada 9 Mei ini.

Pada masa sama, katanya, mahkamah turut menasihatkan anak guamnya supaya sekali lagi memohon dan menghantar notis undang-undang melalui Pejabat Peguam Negara.

“Permohonan itu untuk dihantar kepada Ketua Pengarah ROS, dan memberikan masa kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada meluluskan atau tidak parti Putra mengikut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1960.

“Saya mengharapkan pada 9 Mei ini, sempena tahun pertama pemerintahan Pakatan Harapan (PH), permohonan parti Putra mendapat kelulusan,” ujarnya.

Terdahulu kata Khairul Azam, Peguam Persekutuan telah mengemukakan dua bantahan dan beliau telah berhujah menolak bagi membidas bantahan awal yang telah dibuat oleh pihak Pejabat Peguam Negara.

Kata beliau, Pejabat Peguam Negara menyatakan belum ada keputusan dibuat, oleh itu tindakan berkenaan dianggap pramatang.

“Mereka juga mempersoalkan bagaimana pihak pemohon memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Ketua Pengarah ROS mendaftarkan parti Putra.

“Kalau kita lihat, ada dua isu teknikal bantahan yang dikemukakan tadi, dan mahkamah akan mendengar hujahan kedua pihak 9 Mei ini,” katanya. – MalaysiaGazette