WASHINGTON – Diplomat kanan Turki menegaskan komitmen Ankara membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Rusia, hanya beberapa hari Amerika Syarikat (AS) membekukan penghantaran pesawat pejuang, F-35 ke Ankara sebagai sebahagian daripada tekanan yang dikenakan untuk menggagalkan urusniaga itu.
Bercakap pada perbincangan panel anjuran Atlantic Council di Washington, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu berkata, pembelian S-400 adalah ‘muktamad’, sekali gus mengesahkan kenyataan Presiden Recep Tayyip Erdogan bahawa transaksi itu akan diteruskan.
Beliau menyalahkan Washington yang menghalang pembelian sistem Patriot buatan AS selama sedekad dan menyatakan sistem S-400 buatan Rusia itu tidak mencetuskan isu keselamatan
“(S-400) tidak akan diintegrasikan ke dalam sistem NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara),” kata Cavusoglu sebelum mencadangkan pembentukan sebuah kumpulan teknikal yang akan memastikan sistem pertahanan udara itu ‘tidak menjadi ancaman’ kepada pesawat F-35 atau sistem NATO.
Kenyataannya itu dikeluarkan selepas Turki yang merupakan anggota NATO gagal menepati tarikh yang dirangka Washington untuk membatalkan urusniaga S-400.
Sebagai teguran, pada Isnin lalu, Pentagon berkata, ia telah ‘menggantung penghantaran dan aktiviti yang berkaitan’ program F-35 Turki sehingga ‘mereka melepaskan penghantaran S-400’
“Jika Turki memperoleh S-400, penyertaan mereka dalam program F-35 berisiko,” kata kenyataan itu.
Walaupun mendapat tekanan daripada AS, Timbalan Perdana Menteri Rusia, Yuri Borisov menyatakan keyakinan bahawa Turki akan kekal dengan obligasi kontraknya itu.
“Selebihnya adalah khabar angin, Kami tidak khuatir,” katanya.
Sejak beberapa bulan lalu AS menggesa Turki untuk membatalkan pembelian sistem pertahanan peluru berpandu itu dengan memberi alasan ia menjadi ancaman kepada pesawat perang berteknologi tingginya selain memberi kesan kepada operasi NATO.
Negara itu juga memberi tekanan kepada India untuk menghentikan rundingan pembelian S-400.
Bagaimanapun, seperti Ankara tekanan itu tidak diendahkan New Delhi yang berdapan dengan sekatan. – Agensi