SEREMBAN – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membayangkan berita baik untuk penduduk Negeri Sembilan jika projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat dilaksanakan dengan kos yang lebih rendah.
Kegembiraan itu, menurut Guan Eng, akan menjadi kenyataan jika pengundi di Rantau memilih calon Pakatan Harapan yang mewakili kerajaan yang demokratik, bersih, adil dan bersatu padu.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenainya semasa berucap di hadapan kira kira 250 penduduk dalam kempen Pilihan Raya Kecil DUN Rantau di Taman Jed Indah Kuala Sawah malam tadi.
Katanya, projek berimpak tinggi itu mungkin akan diteruskan jika rundingan antara Tun Daim Zainuddin yang mempengerusikan Majlis Penasihat Kerajaan dan kerajaan China berjalan lancar dan berjaya.
“Sekiranya rundingan kedua dua pihak itu mencapai kata sepakat yang baik, kerajaan mampu mengurangkan kos kepada RM36 bilion.
“Jika ia berlaku, maka ia bukan sahaja suatu berita yang baik untuk negara, tetapi juga berita sangat sangat gembira untuk Negeri Sembilan.
“Saya sebut Negeri Sembilan kerana jajaran ECRL itu akan berubah dan ia berita sangat sangat baik untuk rakyat dan Negeri Sembilan juga,” katanya.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye serta Exco negeri Perak, V. Sivanesan.
Beliau dalam perkembangan berkaitan berkata, pengamal media tidak perlu menyoal lanjut mengenainya sambil memandang ke arah pemberita yang hadir membuat liputan ceramah itu.
“Saya meminta media supaya tidak menyoal saya mengenai isu ini kerana saya bukan dalam kedudukan untuk memperincikan butiran.
“Apa yang pasti perubahan jajaran ECRL akan menjadi berita gembira untuk anda sebagai penduduk Negeri Sembilan.
“Jika kamu mahukan berita gembira itu, sila memberikan sokongan padu anda kepada Pakatan Harapan dalam membentuk sebuah kerajaan yang bersih, demokratik, adil dan bersatu padu,” ujarnya.
Media cuba bertanyakan lebih lanjut bagaimanapun Setiausaha Agung DAP itu sekadar meletakkan jari di mulut sebagai isyarat kepada wartawan tidak menyoal tentang isu ECRL sambil beredar dari tempat ceramah.- MalysiaGazette