Gambar hiasan

SINGAPURA- Meskipun kebanyakan rakyat Singapura percaya sains amat penting di dalam menyelesaikan masalah global, hanya sedikit yang sanggup menceburi kerjaya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menurut dapatan kaji selidik persepsi sains terbesar dunia, sejumlah 30 peratus responden memilih bidang perniagaan sebagai kerjaya yang paling memuaskan hati manakala hanya sembilan sehingga 18 peratus sahaja yang menjawab sains fizik, matematik, sains hayat dan kejuruteraan.

Bagaimanapun, kaji selidik itu mendapati 90 peratus daripada 1,000 orang dewasa Singapura bersetuju sains boleh menyelesaikan masalah dunia dan berharap mereka mengetahui ilmu sains dengan lebih mendalam.

Kira-kira satu pertiga rakyat Singapura menjawab mereka tidak meneruskan kerjaya dalam bidang sains kerana berasa tidak cukup bijak.

Dalam kaji selidik berkenaan, 55 peratus rakyat Singapura bersetuju, rasa ingin tahu merupakan kualiti penting bagi seseorang saintis berbanding 45 peratus dapatan di peringkat global.

Kaji selidik yang sama turut dijalankan di beberapa negara lain di dunia.- MalaysiaGazette