PETALING JAYA – Selepas proses rundingan yang panjang, Kuala Lumpur dan Beijing akhirnya mencapai persetujuan untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Sinchew Daily melaporkan, ECRL yang dihidupkan semula itu akan dibina pada skala lebih kecil dan kosnya juga RM10 bilion lebih rendah berbanding yang asalnya.
Sumber memberitahu akhbar itu, persetujuan itu turut merangkumi unsur komersial yang akan memanfaatkan perniagaan dan rakyat tempatan.
Menurut sumber lagi, kedua-dua kerajaan akan menandatangani perjanjian baharu untuk mengaktifkan semula projek ECRL sebelum Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melawat China pada akhir bulan ini.
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dijangka akan berkunjung ke China dalam masa terdekat untuk menandatangani perjanjian itu bagi pihak Malaysia.
Selain itu, memandangkan Malaysia pernah menyebut bahawa ia tidak akan berpuas hati jika kos pembinaan hanya dikurangkan RM10 bilion, maka perjanjian baharu itu dijangka disertakan dengan “kejutan yang menggembirakan” buat Malaysia.
Dalam pada itu, Sinchew Daily juga melaporkan, laluan ECRL akan diubah atas pertimbangan faktor alam sekitar, yakni untuk mengelakkan Klang Gates Quartz Ridge yang kerajaan mahu menjadikan ia sebagai tapak warisan dunia UNESCO.
Oleh itu, laluan baharu dijangka mengelakkan Bentong, Pahang tetapi ia akan merangkumi kawasan Negeri Sembilan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa berkempen di Rantau pernah mendedahkan bahawa ECRL mungkin diubah laluannya bagi memanfaatkan orang Negeri Sembilan.
Sementara itu, Malaysia dan China juga dijangka berbincang untuk mengendalikan ECRL secara bersama selepas projek itu disiapkan nanti.
Dalam perjanjian yang ditandatangani kerajaan Barisan Nasional (BN), syarikat China hanya membina, sementara operasi dan penyelenggaraan dilakukan Malaysia.
Kerajaan Pakatan Harapan bagaimanapun berharap supaya kedua-dua pihak terlibat secara bersama dalam operasi dan penyelenggaraan ECRL kerana ia menyumbang kepada penurunan kos pembinaan.
Pengendalian bersama juga diyakini dapat menarik kemasukan pelabur dari China dan negara lain sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Pantai Timur Semenanjung. – MalaysiaGazette