SEREMBAN – Dr. S. Streram meminta lawannya supaya bertanding secara sihat dan ‘gentleman’ pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau.
Calon Pakatan Harapan itu mahu pihak di luar sana supaya menghentikan serangan hendap atau provokasi yang tidak matang seperti menaikkan kain rentang berbaur provokasi terhadapnya.
Beliau kecewa apabila pembantu kanannya dituduh bertanggungjawab menaikkan kain rentang bertajuk ‘jangan undi keling’ bersama gambar beliau yang digantung di tiga kawasan di pekan Rantau dua hari lalu.
Malah, gambar pembantu kanannya difitnah dalam media sosial sebagai individu yang bertanggungjawab melakukan provokasi itu.
“Ada fitnah kononnya pembantu saya menaikkan kain rentang sehingga wartawan memaklumkan saya tentang isu tular mengaitkan pembantu kanan saya, kononnya telah ditahan polis.
“Saya terkejut kerana dia semalam ikut saya berkempen dan juga untuk walkabout pagi ini.
“Ini satu niat jahat yang sengaja dilakukan lawan kami untuk menghilangkan fokus kami dalam kempen PRK,” tegasnya semasa bersantai bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penduduk Kampung Sega Hilir, Rantau petang tadi.
Tambah beliau, dalam perkembangan berkaitan, pembantu kanannya telah membuat laporan polis berhubung fitnah yang diviralkan pihak tidak bertanggungjawab itu.
“Saya sudah maklumkan polis untuk menyiasat isu tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette