KUALA LUMPUR – Juara dunia lima kali dari China, Lin Dan membuktikan dia masih berbisa selepas menundukkan rakan senegaranya, Chen Long di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.
Kejayaan Lin Dan merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali kedua membolehkan pemain berusia 34 tahun itu membawa pulang hadiah berjumlah AS$49,000 (RM200,417).
Aksi final menyaksikan kebangkitan Lin Dan yang kini ranking ke-13 dunia selepas tewas pada set pertama 9-21 sebelum meraih kemenangan 21-17, 21-11.
Lebih manis, majlis penyampaian hadiah kepada Lin Dan dan Chen Long disempurnakan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Chong Wei terpaksa menarik diri daripada kejohanan Terbuka Malaysia selepas menerima nasihat daripada doktor yang merawatnya. – MalaysiaGazette