Datuk Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah

KUALA LUMPUR – Pengkorporatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang sepatutnya dilaksanakan pada 2018 tidak akan diteruskan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata kerajaan kini menumpukan usaha memperkasakan JKDM dengan membuat pengezonan semula dan memperkasakan perundangan khususnya berkaitan fungsi penguatkuasaan.

Bagaimanapun, kata beliau, pengkorporatan jabatan itu akan dipertimbangkan pada masa depan selepas kajian secara holistik dibuat.

“Pengkorporatan pada masa depan juga akan mengambil kira peranan, fungsi, kutipan hasil, kawalan sempadan dan penguatkuasa, sebagaimana dilaksanakan negara lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sebelum ini, JKDM mengumumkan penangguhan sementara pengkorporatan institusi itu sementara menanti hasil kajian yang sedang dijalankan pengurusan tertingginya.

Sementara itu, Amiruddin berkata, kerajaan menganggarkan kutipan hasil meningkat kepada RM1 bilion dengan adanya pindaan dalam RUU Kastam 2019.

Jelas beliau, sebelum ini kutipan hasil JKDM pada 2017 adalah RM57.9 bilion, kutipan 2018 pula adalah RM41.3 bilion manakala bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, kutipan hasil adalah RM11.6 bilion.

“Kerajaan mengunjurkan kutipan hasil kastam tahun ini adalah RM38.3 bilion,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast